SEMPORNA: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di atas rumput di tepi jalan di Kampung Keramat di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Sabri Zainol berkata bayi itu ditemukan orang awam dalam keadaan berbalut dengan kain pada 1 tengah hari dan kini sedang dirawat di Hospital Semporna.

"Doktor mengesahkan bayi yang dianggarkan seberat 3.1 kilogram itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Mohd Sabri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan bayi itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna di talian 089-782020 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293.

--BERNAMA



TAG: polis, buang bayi, Semporna, Seksyen 317, Mohd Sabri Zainol