Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihak polis juga akan menempatkan 1,405 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sepanjang sambutan perayaan tersebut.
"Pedati emas akan bergerak pada 10 Feb (Isnin) 6 pagi dari Lebuh Queen ke Jalan Air Terjun dan akan bergerak balik pada 6 petang Rabu dari Jalan Air Terjun ke Lebuh Queen.
"Pedati perak pula akan bergerak pada 7 pagi 10 Feb dari Lebuh Penang ke Jalan Air Terjun dan kembali ke Lebuh Penang pada 7 malam Rabu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata antara laluan yang akan ditutup bagi perarakan kedua-dua pedati ialah Jalan Gottlieb, Lorong Air Terjun, Kebun Bunga, Lorong Air Terjun, Taman Gottlieb, Jalan Burma, Jalan Wright, Jalan DS Ramanathan, Jalan Brown, Jalan Brother James dan Jalan D S Ramanathan, Jalan Park.
Penutupan turut melibatkan lampu isyarat Jalan Brown, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan DS Ramanathan, selain Lorong Air Terjun (Kg Waterfall), Jalan Kebun Bunga, lampu isyarat Jalan Burma, Jalan Gottlieb, Jalan Utama, Jalan Brook dan Jalan Park atau Jalan Tunku Abdul Rahman.
Abdul Rozak berkata Jalan Victoria akan ditutup sepenuhnya pada 12 tengah malam 10 Feb dan Lebuh Campbell akan ditutup pada 12 tengah malam (12 Feb) ketika pergerakan pergi serta balik pedati.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terutama pengguna jalan raya agar mematuhi arahan pihak polis yang bertugas dan merancang perjalanan mereka bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Sebagai langkah menjaga keselamatan, beliau turut menasihati orang awam supaya tidak bermain mercun, minum minuman keras dan tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah, sementara penggunaan dron sepanjang sambutan juga tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Dalam pada itu, Abdul Rozak berkata pihaknya memberi jaminan keselamatan berada pada tahap tertinggi dan tidak menerima sebarang ancaman daripada mana-mana pihak menjelang sambutan Thaipusam, setakat ini.
"Kita sentiasa meletakkan keselamatan sebagai keutamaan, justeru kita telah menubuhkan 22 pasukan petugas bagi memastikan kelancaran pergerakan pedati dan sepanjang sambutan Thaipusam serta mengelakkan insiden tidak diingini berlaku," katanya.
Lebih 1.5 juta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 11 Feb ini.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)