Beberapa jalan utama di Raub ditutup akibat banjir
Antara yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah KM344-KM342 Jalan Kuala Lipis-Kota Bharu (Gali Lurus-Gali Hilir) dan Jalan Cheroh-Gesing.
Bernama
Sun Dec 01 2024
Trafik IPD Raub mengawal lalu lintas di sebatang jalan yang dilanda banjir di Raub. - Foto Polis Daerah Raub
KUANTAN: Beberapa jalan utama di daerah Raub ditutup untuk semua kenderaan ringan berikutan banjir susulan hujan lebat sejak petang semalam
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dalam kenyataan yang yang dimuat naik di Facebook berkata antara jalan yang ditutup kepada kenderaan ringan adalah di Kilometer (km) 344 - KM342 Jalan Kuala Lipis-Kota Bharu (Gali Lurus-Gali Hilir) dan Jalan Cheroh-Gesing (jambatan Gesing).
"Ekoran hujan lebat semalam pada pukul 6 petang sehingga kini, telah menyebabkan banjir di daerah Raub, dan beberapa jalan utama turut dinaiki air sejak pagi tadi.
"Kawalan lalu lintas dilakukan oleh Trafik IPD Raub. Laluan hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja," menurut kenyataan itu.
Pahang menjadi negeri terbaharu dilanda banjir apabila 19 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Raub dan Lipis bagi menempatkan 579 mangsa daripada 185 keluarga setakat pukul 10.15 pagi.