KUALA LUMPUR: Seorang bekas kontraktor dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daish dalam telefon bimbit dan komputer ribanya tahun lepas.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Awang, 49, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 23 Jun 2024.

Mengikut pertuduhan, Mohamad didakwa memiliki item-item berkaitan Daish dalam telefon bimbit dan komputer ribanya di sebuah rumah di Taman Daya di Johor Bahru, Johor pada 7.05 pagi, 23 Jun 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendak dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainaa Ridzwan memohon hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan mengambil kira kesalahan itu serius kerana melibatkan keselamatan negara.

"Tertuduh sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun pada 2018 di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan. Namun, tertuduh masih tidak mengambil iktibar selepas dia dibebaskan pada 21 Jun 2022 dan kembali kepada kumpulan itu.

"Oleh itu, faktor kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi tertuduh selain mengambil kira rekod kesalahan lampau tertuduh," katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail.

Peguam Shah Wira Abdul Halim yang mewakili Mohamad memohon hukuman denda dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin serta menanggung keluarga dan ibunya berusia 73 tahun.

"Anak guam saya telah insaf, menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama serta berusaha untuk memperbaiki diri ke arah lebih baik," kata Shah Wira.

-- BERNAMA