Penolong Kanan Penguasa Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM Nasharudin Amir berkata, hasil siasatan susulan kunjungan pasukan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke Riyadh, Arab Saudi, pada November 2015 untuk menyiasat ketulenan surat tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sejurus mereka pulang dari negara itu.
Saksi pembelaan ke-10 itu berkata demikian ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib semasa perbicaraan kes Najib berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.
"Selepas pulang dari Riyadh saya merujuk hasil siasatan kepada AGC dan saya mengesyorkan siasatan lanjut dijalankan serta mendapatkan Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA) dari Singapura," kata saksi itu yang merupakan bekas pegawai penyiasat kes 1MDB.
Selain Nasharudin, pegawai SPRM yang turut ke Riyadh ketika itu ialah bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki (ketika itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad mewakili AGC.
Pada prosiding sebelum ini, Fikri yang juga saksi pembelaan kesembilan turut memberi keterangan mengenai perkara sama dan memberitahu mahkamah bahawa Azam juga mengarahkannya untuk terus menyiasat ketulenan surat derma itu kerana berpendapat maklumat diperoleh semasa lawatan tidak mencukupi selain perlu mendapatkan bukti kukuh.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Nasharudin mengesahkan rakaman percakapan Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud yang juga penama dalam empat surat derma tersebut telah dilakukan menerusi wakil dilantik putera itu iaitu Mohamad Abdullah Al-Koman.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung Isnin.
-- BERNAMA
