Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan untuk membatalkan rayuan itu.
Berikutan penolakan rayuannya, perbicaraan terhadap Shariffa Sabrina akan diteruskan di Mahkamah Sesyen pada 24 Feb ini.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Ahmad Zaidi berkata mahkamah telah bersetuju dengan hujah oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu.
Ahmad Zaidi berkata keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah keputusan muktamad yang menjejaskan Shariffa Sabrina mengikut undang-undang khususnya mengenai pembelaannya dan justeru, rayuannya tidak mempunyai merit.
Pada 31 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Shariffa Sabrina untuk membatalkan pertuduhan berkenaan dan beliau kemudian memfailkan rayuan.
Dalam permohonannya, Shariffa Sabrina, 62, mendakwa tuduhan terhadapnya adalah cacat dan berniat jahat. Beliau memohon untuk dibebaskan dan dilepaskan daripada ketiga-tiga tuduhan berkenaan.
Pada Mac 2022, Shariffa Sabrina didakwa di Mahkamah Sesyen Raub, melakukan kesalahan pada 2 petang, 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM4135 di Mukim Bentong; Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong; dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras, kesemuanya di Raub, Pahang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.
Shariffa Sabrina diwakili peguam Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh dan Ambbi Balakrishnan.
-- BERNAMA