Ringkasan AI
- Kota Marudu, Kota Belud dan Telupid diisytiharkan pulih daripada banjir dan semua penduduk yang terjejas telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
- Pengisytiharan ini dibuat oleh Pegawai Daerah masing-masing dan semua pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup berdasarkan maklumat dari agensi-agensi berkaitan.
- Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang terjejas di ketiga-tiga daerah itu adalah 5,216 orang daripada 1,820 keluarga.
Pengisytiharan itu dibuat Pegawai Daerah Kota Marudu Meirin Sugara pada 10 pagi, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton pada 12 tengah hari dan Pegawai Daerah Telupid Celestine Jetony pada 1 tengah hari. Kesemua mereka juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah masing-masing.
Menurut kenyataan dikeluarkan, penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuat berdasarkan maklumat daripada agensi yang membuat tinjauan di lokasi terjejas banjir dan keadaan cuaca yang baik serta paras air yang telah pulih sepenuhnya.
"Semua PPS telah ditutup dan kediaman penduduk selamat untuk didiami," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Komander Operasi Bencana juga diarahkan untuk menyelaras kekuatan anggota, aset dan logistik di PPS bagi operasi penghantaran pulang mangsa banjir ke rumah masing-masing selain agensi yang terlibat di lapangan diminta menilai jika terdapat keperluan untuk aktiviti pascabencana bersepadu dilaksanakan.
Sehingga 8 pagi tadi, Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Sabah iaitu 2,944 orang daripada 1,095 keluarga, Kota Belud 207 mangsa (67 keluarga) dan Telupid 288 mangsa (75 keluarga).
Seramai 5,216 orang daripada 1,820 keluarga dipindahkan setakat pagi tadi.
-- BERNAMA
