ARAU: Kawasan tapak bendang di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang dekat sini yang menjadi lokasi penganjuran Pesta Angin Timur Perlis 2025 (PAT 2025) selama tiga hari bermula pada Jumaat, berselut tebal selepas hujan lebat petang semalam menyebabkan lokasi beberapa aktiviti terpaksa diubah.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata pertunjukan layang-layang moden akan diadakan di lokasi lain, iaitu di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, dan belon udara panas berlangsung di kawasan bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar.

Selain itu, katanya pertandingan asam pedas Perlis, tepung talam, pulut udang Perlis serta bubur dan dodol Perlis akan diadakan di Yayasan Pok dan Kassim, Pengkalan Asam di Kangar manakala pertandingan tarik tali ditukar ke kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar dan paramotor di tapak lapang Kangar Jaya.

"Walaupun lokasi PAT 2025 berselut tebal, 25 aktiviti tetap diteruskan, namun ada beberapa acara yang diubah lokasi ... kepada semua pihak terlibat yang terjejas termasuk peniaga daripada 170 lot niaga di pesta ini, saya ingin memohon maaf, keadaan berlaku di luar kawalan," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan tapak PAT 2025 itu malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Shukri berkata acara lain diteruskan di lokasi sama di Kampung Lat Seribu, iaitu kenduri rakyat, pertandingan bola jaring bendang, bola tampar bendang, cabaran lumpur, pertunjukan wau helang Perlis, kayuh basikal di atas titi dan larian angin timur.

"Kenduri rakyat diteruskan di Kampung Lat Seribu kerana persediaan semua sudah siap, semua boleh hadir ke tapak pesta ini untuk menikmati jamuan kurma daging, ada 4,000 pek makanan tersedia untuk pengunjung," katanya.

Beliau berkata majlis perasmian PAT 2025 yang dijadualkan disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada petang ini dibatalkan berikutan keadaan tapak bendang yang penuh selut itu.

PAT 2025 yang memasuki edisi ke-13 tahun ini merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis.

-- BERNAMA