GEORGE TOWN: Sepasang alpaka yang dinamakan Benny dan Jenny menjadi antara tarikan utama di Mini Zoo Utara bersempena Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini.


Ringkasan AI
  • Sepasang alpaka bernama Benny dan Jenny menjadi tarikan utama di Mini Zoo Utara sempena Pesta Pulau Pinang 2024/2025, menarik perhatian pengunjung dengan keletah mereka yang comel.
  • Mini Zoo Utara menampilkan hampir 70 spesies haiwan lain termasuk haiwan eksotik seperti rakun, burung kakak tua, iguana, ular, dan kambing terkecil di dunia.
  • Pengunjung boleh menyentuh dan mengambil gambar dengan haiwan, dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa, RM8 bagi kanak-kanak, dan percuma untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun dan Orang Kurang Upaya (OKU).


Dengan berkaca mata hitam, keletah kedua-dua haiwan berasal dari Australia itu mencuri perhatian pengunjung bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dan selain memberi makan.



Pemiliknya Alim Jefferi Abdullah Aziz, 40, berkata ini kali pertama Mini Zoo Utara masuk ke Pesta Pulau Pinang dan menjadi acara terbesar pernah disertai pihaknya dengan 'Alpaca and Friends' dipilih sebagai tema.

Selain alpaka, acara kali ini turut menampilkan hampir 70 spesies haiwan lain termasuk haiwan eksotik seperti rakun, burung kakak tua, iguana, ular dan kambing terkecil di dunia yang kesemunya berasal dari luar negara.

"Tema 'Alpaca and Friends' ini dipilih sebab di Pulau Pinang jarang dapat tengok alpaka jadi kita hendak beri peluang kepada pengunjung terutama orang tempatan untuk melihat haiwan itu secara lebih dekat.

"Kebiasaan kalau nak tengok alpaka kena pergi ke Cameron Highland atau di zoo tetapi istimewa untuk Pesta Pulau Pinang kita bawakan khas.

"Selain dapat menyentuh, pengunjung juga boleh mengambil gambar dengan alpaka serta haiwan lain yang ada di sini," katanya kepada Bernama di Tapak Pesta Sungai Nibong.



Alim Jeffri berkata bayaran masuk RM10 bagi dewasa, RM8 kanak-kanak manakala percuma untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan tiada had masa ditetapkan.

Beliau berkata dengan dibantu enam petugas pihaknya turut menyediakan info berkaitan haiwan yang dipamerkan bagi memberi pengetahuan kepada para pengunjung.

Sejak dibuka pada 21 Dis lepas, beliau berkata sambutan diterima amat menggalakkan menyaksikan para pengunjung tidak putus-putus datang daripada mula beroperasi pada 5.30 petang sehingga lewat malam.

"Kali kita berkampung selama 44 hari di tapak pesta hingga 2 Feb, sesiapa yang berminat untuk melihat pelbagai spesies haiwan eksotik boleh berkunjung ke mini zoo kami," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung M. Keethanjali, 29, berkata dia tertarik melihat haiwan di mini zoo berkenaan kerana ia jarang dapat dilihat.

"Saya ke sini ikut rakan sebab dia pencinta haiwan. Walaupun saya bukan peminat tapi bila dah masuk ke sini teruja dan seronok sebab ada banyak haiwan," katanya yang datang dari Sungai Petani, Kedah.

-- BERNAMA