Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Badrul Hisham Mohd berkata penjualan disasarkan kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.
Beliau berkata setiap KIR dihadkan untuk membeli dua pek bagi setiap pembelian.
Badrul Hisham berkata beliau yakin bekalan mencukupi memandangkan rakyat Malaysia menggunakan sekitar 77kg beras setahun secara purata dan pengiraan itu adalah bagi mengelakkan lambakan yang akan bergerak ke arah manipulasi.
"Pasukan saya sudah mewujudkan mekanisme kawalan dan kita akan keluarkan satu arahan khusus kepada peruncit untuk hadkan pembelian," katanya dalam sidang media khas berkenaan mekanisme pelaksanaan subsidi BPT, di sini hari ini.
Badrul Hisham berkata BPT akan disalurkan kepada 36,000 peruncit berlesen seluruh negara dan juga di Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah.
Beliau berkata penjualan akan tertumpu di kawasan miskin bandar seperti di flat dan rumah pangsa.
Badrul Hisham berkata kumpulan pertama yang akan menikmati PBT bersubsidi ialah di Jualan Agro MADANI pada Khamis ini di Kedah.
Beliau berkata sebanyak 10,000 hingga 20,000 kampit beras tempatan akan dijual sempena lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Setar, Kedah.
-- BERNAMA
