SUNGKAI: Artikel ini adalah bersempena Hari Harimau Sedunia yang disambut pada 29 Julai setiap tahun.
HANYIR bau darah mula memenuhi ruang bilik penyediaan makanan sebaik sahaja sekumpulan pekerja membawa masuk pelbagai jenis daging yang baharu dihantar pembekal untuk habuan 'raja rimba' pada hari itu.
Beberapa orang penjaga harimau Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) sudah bersedia di bilik berkenaan untuk memotong daging mengikut saiz yang sudah ditetapkan.
Antaranya ialah Rahmat Rohani @ Abdul Ghani, 51, berasal dari Jasin, Melaka dan sudah berkhidmat selama 10 tahun sebagai penjaga harimau di NWRC Sungkai, Perak itu.
Dengan menggunakan sebilah kapak, beliau begitu cekap memotong bahagian daging yang diperlukan sebelum memasukkan semuanya ke dalam tong berwarna merah untuk diberi makan kepada harimau yang ditempatkan di pusat berkenaan sekitar pukul 3 petang.
"Kami hanya akan bagi harimau makan pada sekitar pukul 3 petang kerana pada waktu petanglah haiwan itu aktif berbanding waktu pagi tetapi tidak semestinya haiwan itu akan makan tepat pada pukul 3 petang," katanya kepada Bernama, dengan menambah, sebanyak 100 kg pelbagai jenis daging disediakan setiap hari untuk makanan harimau.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata ini, tidak hanya daging lembu sahaja diberikan tetapi turut dipelbagaikan dengan ayam hidup dan ayam proses serta daging sejuk beku mengikut diet yang ditetapkan iaitu lima peratus daripada berat badan seekor harimau.
Mungkin ada yang berfikir harimau di NWRC diberi makan setiap hari, namun sebenarnya haiwan pemangsa yang kini semakin pupus hanya diberi makan enam hari seminggu kerana ingin memastikan kesihatan usus serta sistem pencernaan yang sihat.
"Hari yang harimau tidak diberi makan itu mungkin hari Sabtu atau hari lain yang sesuai. Pada hari lain makanan akan diberikan di kurungan malam yang merupakan blok tempat haiwan itu tidur.
"Sementara pada waktu siangnya, harimau akan dilepaskan ke laman senam iaitu bersebelahan dengan kurungan malam. Kami hanya akan masuk (ke kurungan malam) untuk meletakkan makanan selepas memastikan semua harimau berada di laman berkenaan," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pembantu Hidupan Liar di Zoo Melaka pada tahun 2000 sebelum ditugaskan sebagai penjaga harimau di zoo itu dari tahun 2008 hingga 2013.
Beliau ditukarkan bertugas sebagai penjaga harimau di NWRC pada tahun 2014 sehingga ke hari ini.
SEPERTI DALAM HUTAN
NWRC yang terletak di Sungkai, Perak dibina berdasarkan perundangan Akta 716 iaitu Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai spesies terancam 2008 yang berperanan sebagai pusat penempatan spesies hidupan liar terancam akibat kecederaan, penyeludupan, rampasan dan serahan di Semenanjung Malaysia.
Pada masa ini terdapat 12 ekor Harimau Malaya yang berusia antara 6 hingga 20 tahun di NWRC, yang diberi pelbagai nama, iaitu harimau betina Cindai, Nikki, Zanah, Mek Santung, Chemon dan Stacy, manakala bakinya enam ekor harimau jantan iaitu Yeop Tapah, Sungkai, Johny, Jeli, Jay dan Dido yang ditempatkan di lima blok kurungan malam.
Menurut Rahmat, Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris malayensis atau Panthera tigris jacksoni yang berada di NWRC adalah harimau liar yang diselamatkan akibat kecederaan disebabkan perangkap ataupun serahan dari mana-mana zoo di seluruh Malaysia.
Biarpun haiwan ini berada di pusat yang disediakan dengan segala keperluan termasuk makanan, namun harimau Malaya ini turut diajar hidup berdikari sebagai persediaan sebelum dilepaskan ke habitat asalnya suatu hari nanti.
"Penjaga harimau akan menggunakan kreativiti mereka untuk mendedahkan harimau yang ditempatkan di pusat ini dengan alam semula jadi serta cara kehidupan asal seperti berburu untuk mendapatkan makanannya.
"Kami juga akan menggunakan kreativiti ketika meletakkan makanan kepada harimau dengan mempelbagaikan tempat makanannya dalam kurungan malam yang tidak hanya statik pada satu tempat sahaja," katanya menambah terdapat tujuh orang penjaga harimau di NWRC.
Ini termasuklah dengan makanan digantung di atas siling, menyembunyikannya di sebalik batang pisang, pelbagai jenis daun yang bertujuan untuk merangsang deria bau haiwan tersebut bagi membolehkannya untuk berdikari mencari makanan berdasarkan bau berkenaan.
Menariknya, penjaga harimau akan meletakkan pelbagai jenis daun seperti daun pisang dan kelapa sawit untuk mewujudkan suasana alam semula jadi, di dalam kurungan malam yang berdinding dan berlantaikan simen itu.
Selain itu, harimau ini akan dibiasakan dengan kehidupan sepertimana di dalam hutan apabila akan menghabiskan masa seawal pukul 8.30 pagi hingga 3 petang di sekitar kawasan laman senamnya.
Berukuran kira-kira 30 meter lebar dan 42 meter panjang, laman senam yang dipisahkan oleh pagar pada setiap blok membolehkan harimau ini menjalani kehidupan sepertimana habitat asalnya termasuklah berlegar-legar sambil memijak tanah, memburu dan menikmati kehijauan alam.
Selain diberikan makanan oleh penjaga harimau, ada ketikanya beberapa ekor kambing akan dilepaskan ke laman senam bagi membiasakan harimau ini berburu dan mencari makanannya sendiri.
"Ada laluan khas yang dihubungkan dari blok kurungan malam ke laman senam dan ini semua adalah proses pemulihan harimau untuk membiasakan dengan kehidupan asalnya di hutan.
"Walaupun pada masa ini, haiwan ini tidak menjalani kehidupan di hutan, namun masih dapat menikmati suasana hutan di NWRC kerana sekurang-kurangnya 50 peratus persekitaran di laman senam sama seperti habitat asalnya," katanya.
TIDAK BOLEH LEKA
Bagi Rahmat, biarpun sudah satu dekad bersama dengan haiwan yang digeruni ramai itu serta sudah begitu memahami tabiat dan pergerakannya, namun, ini tidak bermakna beliau boleh leka dan lalai, walau sesaat pun.
Ini kerana, sifat raja rimba itu yang sukar dijangka memerlukan beliau dan rakan penjaga harimau yang lain sentiasa berhati-hati serta tidak mengambil mudah walaupun melibatkan kerja yang remeh.
Sikap berhati-hati itu membuatkan setakat ini, Rahmat belum pernah mengalami sebarang kecederaan atau berada dalam situasi yang membahayakan dirinya sepanjang menguruskan haiwan berkenaan iaitu satu pencapaian terbaiknya sepanjang perkhidmatan sebagai penjaga harimau.
"Bukan semua (harimau) perangai sama dan dari situlah mulanya proses pembelajaran mengenali tabiat haiwan ini dan kita (penjaga harimau) memang kena selalu belajarlah (sikap, cara mengendali haiwan ini).
"Saya boleh katakan antara cabaran menjaga harimau adalah kita langsung tidak boleh jangka apa tindakannya biarpun sudah lama menjaganya kerana tabiat haiwan ini memang sukar diramal," katanya.
Hakikatnya, memang tidak ramai yang berani untuk memilih kerjaya sebagai penjaga haiwan pemangsa paling berbahaya di dunia ini kerana berisiko diserang raja rimba itu pada bila-bila masa sahaja.
Namun, Rahmat menganggap pekerjaannya satu tugas murni bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya yang kini semakin diancam kepupusan.
"Penerokaan hutan dan pembukaan tanah menyebabkan banyak haiwan di dalam hutan semakin berkurangan dan ini sekali gus mengganggu habitat harimau yang sukar mencari makanan di hutan.
"Berbanding di pusat ini, walaupun harimau diajar berdikari dan memburu, namun makanan tetap disediakan dan ini dapat membantu menjamin kelangsungan haiwan yang semakin terancam ini," katanya yang turut gemar melihat aksi harimau liar yang garang kerana menyukai bunyi ngaumannya.
Populasi Harimau Malaya kini dianggarkan hanya tinggal sekitar 150 ekor sahaja yang hidup liar di dalam hutan di negara ini dan semakin membimbangkan apabila haiwan berkenaan terus diancam kepupusan akibat daripada pembukaan tanah dan penerokaan hutan.
SATU KEJAYAAN
Begitu juga dengan Hairul Anwar Nordin, 26, yang memilih kerjaya sebagai penjaga harimau kerana minat dan gemarkan cabaran baharu khususnya yang berkaitan dengan pengurusan kehidupan liar dalam kurungan.
"Bagi saya, tidak semua orang mampu menggalas tugas menguruskan harimau dalam kurungan dan saya melihat ini sebagai satu peluang keemasan. Rasa takut itu memang ada tetapi disebabkan minat dan kita hendak belajar benda baharu, jadi kita beranikan diri," katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.
Anak bongsu daripada dua beradik ini menambah, terdapat pelbagai cabaran sebagai penjaga harimau dan baginya yang paling sukar adalah memastikan harimau di situ dapat menjalani kehidupan sepertimana di hutan.
Ini juga bagi membiasakan haiwan pemangsa itu dengan habitat asalnya sebelum dilepaskan ke hutan pada masa depan dan sekiranya dapat 'diliarkan', itu merupakan satu kejayaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
"Banyak cabaran untuk menguruskan harimau dalam kurungan, antaranya kesihatan haiwan tersebut, proses mengawan harimau, proses mengajarkannya untuk meliarkannnya, itu semua pengalaman berharga," katanya yang berkhidmat di NWRC sejak tiga tahun yang lalu.
Memulakan tugas seawal pukul 8 pagi, Hairul Anwar bersama penjaga harimau lain akan membuat rondaan di sekitar kawasan teduhan malam untuk memastikan keadaan selamat serta harimau berada dalam kurungan yang ditetapkan.
Seterusnya harimau akan dilepaskan ke laman senam bagi membolehkan penjaga membersihan kawasan kurungan serta memantau keadaan kesihatan dan berat badan haiwan berkenaan.
"Sekiranya ada harimau yang sakit, ubat akan diberikan sekitar pukul 6 petang atau 7 malam dengan menyumbatkannya ke dalam daging yang akan diberikan untuk makanan harimau. Ada juga akan dipengsankan dengan ubat pelali untuk rawatan seterusnya," katanya.
Sementara itu, ketua NWRC Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Ishak Muhamad berkata, pusat ini berfungsi untuk menyelamatkan bukan sahaja harimau tetapi juga pelbagai hidupan liar lain yang terkesan akibat konflik dengan manusia termasuk beruang matahari, tapir, harimau kumbang, spesies primat seperti siamang dan ungka.
Menurut beliau, pada awal pembukaan pusat ini, sebanyak 20 ekor harimau dari Zoo Melaka diserahkan kepada NWRC untuk dirawat sebelum dihantar ke Pusat Konservasi Harimau Malaya di Lanchang, Pahang (MTCC) untuk diliarkan semula sebelum dilepaskan ke habitat asal.
SASAR 400 PAK BELANG
Tidak hanya menjadi pusat menyelamatkan haiwan liar, NWRC juga turut dipertanggungjawabkan untuk membiakkan harimau dengan menyasarkan untuk menambahkan bilangan harimau sehingga 400 ekor.
"Harimau yang diselamatkan itu akan dijadikan induk untuk dibiakkan. Sekiranya berjaya dan mendapat anak, harimau itu akan diliarkan di MTCC sebelum dilepaskan ke hutan, habitat asalnya.
"Manakala yang induknya yang ada di NWRC akan terus berada di situ sehingga ke akhir hayat," katanya.
Harimau yang dijaga di pusat hidupan liar atau di dalam zoo boleh mencecah jangka hayat sehingga 26 tahun berbanding yang berada di dalam habitat asalnya iaitu hanya 20 tahun sahaja.
Ishak menambah, NWRC kekal komited memelihara spesies harimau terutamanya Harimau Malaya yang kini semakin terancam termasuk menjalin kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan populasi harimau dapat dibiak dan ditambah. - BERNAMA
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
Bernama
Tue Aug 01 2023

Populasi Harimau Malaya kini dianggarkan hanya tinggal sekitar 150 ekor sahaja yang hidup liar di dalam hutan di negara ini dan semakin membimbangkan apabila haiwan berkenaan terus diancam kepupusan. - Gambar Facebook Jabatan Perhilitan
Malaysia dijangka berdepan cabaran pembangunan pusat data AI dengan sekatan terkini AS - Liew
Menurutnya Malaysia telah diletakkan di bawah kategori Tahap 2 menerusi sekatan baharu itu selain Singapura, Indonesia dan Vietnam, dengan negara-negara berkenaan diberikan akses yang terhad dan terkawal bagi eksport teknologi AI termaju.
PGA gagalkan cubaan seludup hampir 88,000 kelapa di Tumpat
Pasukan Gerakan Am (PGA) briged tenggara berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar hampir 88,000 biji kelapa selepas menahan dua treler di Stor Che Soh, Kampung Pulau Ular, Tumpat, Isnin lalu.
'Flat' Chow Kit digempur, 124 pati dicekup
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 124 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah bangunan rumah flat 14 tingkat di Jalan Haji Hussein, Chow Kit awal pagi rabu.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata 84 warga Indonesia, Bangladesh (17), Pakistan (14), Nepal (4), India (3) dan Myanmar (2) ditahan kerana disyaki tinggal di negara ini tanpa permit sah dan melebihi masa yang ditetapkan.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata 84 warga Indonesia, Bangladesh (17), Pakistan (14), Nepal (4), India (3) dan Myanmar (2) ditahan kerana disyaki tinggal di negara ini tanpa permit sah dan melebihi masa yang ditetapkan.
A$ap Rocky dibebaskan dari dua pertuduhan, 'lompat' ke arah penyokong di mahkamah tanda lega
Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, A$Ap Rocky dibebaskan daripada dua pertuduhan jenayah serangan dengan senjata separa automatik selepas juri mahkamah di Los Angeles mendapati beliau tidak bersalah dalam insiden yang berlaku pada 2021.

Dua lelaki termasuk warga emas didakwa edar 275 kg dadah
Dua lelaki termasuk seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas pertuduhan mengedar 275.19 kilogram dadah.
AS-Rusia setuju runding lagi, Ukraine tidak dilibatkan
Amerika Syarikat bersetuju untuk mengadakan lebih banyak rundingan dengan Rusia bagi menamatkan perang di Ukraine selepas mesyuarat awal yang tidak melibatkan Kyiv.
Pendekatan ini berbeza daripada dasar Washington sebelum ini yang lebih memilih untuk menekan Rusia melalui kerjasama rapat dengan sekutu-sekutunya.
Pendekatan ini berbeza daripada dasar Washington sebelum ini yang lebih memilih untuk menekan Rusia melalui kerjasama rapat dengan sekutu-sekutunya.

Gangguan bekalan air 18 jam di Air Itam, Farlim, Paya Terubong
Sebanyak 33,500 akaun pengguna di Air Itam, Farlim dan Paya Terubong di sini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 18 jam bermula Jumaat hingga Sabtu ini.
Israel, Hamas runding gencatan senjata baharu minggu ini
Israel dan Hamas akan memulakan rundingan tidak langsung mengenai fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza minggu ini.
Rundingan bagi fasa kedua perjanjian ini dijadualkan bermula pada 4 Februari, tetapi Qatar, sebagai perantara bersama Mesir dan Amerika Syarikat, menyatakan bahawa rundingan rasmi masih belum dimulakan.
Rundingan bagi fasa kedua perjanjian ini dijadualkan bermula pada 4 Februari, tetapi Qatar, sebagai perantara bersama Mesir dan Amerika Syarikat, menyatakan bahawa rundingan rasmi masih belum dimulakan.
Perpaduan ASEAN, kunci kekuatan ekonomi serantau hadapi cabaran global
Menurut Wakil Perdagangan Thailand, H.E. Umesh Pandey, ASEAN mesti berfungsi sebagai satu entiti ekonomi yang dinamik dan saling bergantung bagi menghadapi cabaran perdagangan global yang semakin kompleks. Perpaduan yang kukuh akan memastikan kestabilan dan pertumbuhan berterusan, walaupun berdepan dengan krisis yang melanda dunia.
Perkasa peluang dagangan baharu antara Thailand dan Malaysia
Wakil Perdagangan Thailand, H.E. Umesh Pandey berkata, Malaysia dan Thailand memiliki kelebihan tersendiri dan kedua-dua negara perlu memanfaatkan kekuatan bersama dan melonjak ke tahap baharu.

Lima ekor Harimau Malaya mati dalam tempoh kurang dua tahun
Lima ekor Harimau Malaya dilaporkan mati termasuk menjadi mangsa dalam insiden jalan raya dalam tempoh kurang dua tahun sejak 2023 sehingga kini.

Bergadai nyawa demi kelangsungan Raja Rimba
Pernahkah ada dalam kalangan pembaca yang terfikir untuk menjadi penjaga harimau? Ikuti cerita kisah dua individu yang hidup mereka mendampingi harimau setiap hari.

Semua perlu komited selamatkan Harimau Malaya - Tengku Hassanal
Selain tindakan kerajaan, golongan belia juga boleh memainkan peranan dengan memanfaatkan teknologi maklumat untuk mendidik kepentingan harimau dan habitatnya kepada ekosistem hutan.

'Ngauman' penyanyi Malaysia untuk harimau Malaya
Konsert yang bakal diadakan pada 30 Ogos ini menandakan kemuncak kempen selama sebulan bertema 'Save the Malayan Tiger'.

Gosok gigi harimau? Ini jawapan penjaga harimau Malaya Zoo Negara
Namun, di sebalik personaliti ganas yang digeruni ramai, gelagat comel harimau Malaya mampu 'mencairkan hati' ramai pencinta haiwan.

Hari Harimau Sedunia: Di sebalik keberanian pendamping 'Pak Belang'
Perkara paling penting sebelum membenarkan haiwan itu keluar bermain adalah mengenal pasti tingkah lakunya.

Selamatkan Harimau Malaya: Pastikan lambang Jata Negara kekal relevan
Peranan tersebut bukan sahaja perlu dipergiatkan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sahaja, tetapi juga agensi-agensi lain termasuk institusi pendidikan.

Selamatkan 'Raja Rimba' daripada kepupusan
Populasi Harimau Malaya kini diancam kepupusan dengan hanya tinggal kira-kira 200 ekor sahaja.

10 fakta menarik mengenai harimau Malaya
Sehubungan dengan Hari Harimau Sedunia sedunia, ketahui 10 fakta menarik mengenai Harimau Malaya.