KUALA LUMPUR:Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak menyangka busana baju Melayu yang digayakan ketika membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat lalu menjadi perhatian umum khususnya netizen.

Katanya, pakaian tersebut dipakai ke Dewan Rakyat untuk hari yang bersejarah iaitu pembentangan pertama beliau sebagai Menteri Kewangan.

"Saya tak sangka mereka akan fokus pada pakaian saya. Seperti saya sebut dalam ucapan Belanjawan 2021, samping saya itu dari Penjara Penor (Kuantan, Pahang).

"Banduan yang mengusahakan sampin tersebut (jadi) saya nak sokong perusahaan itu," katanya ketika ditemu bual di TV3 di sini, malam ini.

Pada masa sama, Senator Dewan Negara itu memberitahu, songkok yang dipakai pula adalah hasil kreativiti seorang penerima bantuan Geran Khas Prihatin.

"Songkok daripada seorang penerima Geran Khas Prihatin yang berasal dari Terengganu, jadi saya nak bantu mereka.

"(Bahkan) beg warga kelabu itu adalah beg kitar semula yang diperbuat daripada tali pinggang keselamatan, menunjukan kelestarian barangan tempatan," katanya.