Biasiswa berjumlah RM4,744,000 itu akan membantu pelajar berkenaan untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang perubatan.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan mengalu-alukan kolaborasi antara Universiti Perdana dan BZI untuk merapatkan jurang pendidikan dalam masyarakat.
“Saya berharap biasiswa ini dapat membantu pelajar terpilih untuk membina masa depan cerah sebagai doktor perubatan.
“Sekali gus membantu negara memperkasa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat,” katanya menerusi rakaman video ketika majlis penyerahan biasiswa di Dewan Perdana, Universiti Perdana, Kuala Lumpur pada Rabu.
Canselor Universiti Perdana, Datuk Seri Dr Suleimen Mohamed berkata program biasiswa tahunan yang julung kali diadakan ini berhasrat untuk mengubah nasib golongan kurang berkemampuan.
“Dengan dana hampir RM5 juta, 11 rakyat Malaysia yang cemerlang akademik boleh terus mengejar impian untuk bekerjaya dalam bidang perubatan. Tiada lagi cita-cita terpaksa dilupakan kerana kekangan kewangan.
“Ia bukan sahaja pelaburan untuk masa depan mereka, malah dapat membantu menaik taraf sistem kesihatan negara di kemudian hari,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bin Zayed International, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy berkata pihaknya sukacita untuk membantu mewujudkan peluang pendidikan tinggi dalam bidang perubatan.
“Kami berharap melalui program biasiswa ini, lebih banyak penyertaan filantropi berkaitan pendidikan dapat dijayakan, ia membuktikan kuasa kerjasama strategik,” ujarnya.
Sementara itu, penerima biasiswa, Namartha Vengadarama, 19, menzahirkan rasa syukur kerana dia kini dapat menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).
"Saya tak mampu nak gambarkan kegembiraan tu dengan kata-kata, waktu dapat berita tu saya terus pergi peluk ibu saya. Seluruh keluarga berbangga teramat sebab saya orang pertama jadi doktor dalam keluarga.
"Rasa lega dapat biasiswa ni, macam kita semua tahu, kursus perubatan antara pengajian paling mahal. Saya sebolehnya tak mahu lagi membebankan ibu bapa, kini saya boleh berdikari daripada segi kewangan.
"Saya akan berusaha keras supaya dapat membuktikan biasiswa yang saya terima ini berbaloi," katanya.
Seorang lagi penerima biasiswa iaitu Noraffan Jaafar, 19, berkata dia terharu kerana dapat mengikuti pengajian diminatinya dalam kursus MBBS.
"Lepas Asasi, saya gagal dapat kursus perubatan yang saya minta di UPUOnline, jadi saya ambil Ijazah Sarjana Muda Biokimia di Universiti Putra Malaysia (UPM).
"Saya rasa lemah semangat masa tu, akhirnya saya tak boleh bawa kursus tersebut. Saya memang pasang cita-cita nak jadi doktor selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Apabila berjaya dapat biasiswa penuh daripada BZI untuk ikuti kursus perubatan di Universiti Perdana, hati saya terus berbunga-bunga," imbasnya.
