Ringkasan AI
- Perbicaraan akan dijalankan dalam bahasa Inggeris setelah tertuduh bersetuju, dengan syarat terdapat jurubahasa bertauliah yang boleh berkomunikasi dengannya.
- Hakim menetapkan semula tarikh perbicaraan selama 14 hari bermula dari 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun, dan 23 hingga 26 Jun 2025 di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang.
- Avitan didakwa memiliki peluru dan memperdagangkan enam senjata api tanpa lesen. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan.
Keputusan itu dibuat selepas peguamnya Jeffrey Ooi memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Mohd Zaki Mohd Salleh bahawa tertuduh bersetuju perbicaraan berlangsung dalam bahawa berkenaan sekiranya terdapat jurubahasa bertauliah.
"Pihak kami telah berbincang dengan tertuduh dan dia memaklumkan sekiranya ada jurubahasa yang bertauliah dan boleh berkomunikasi dengannya, dia bersedia untuk perbicaraan dijalankan dalam bahasa Inggeris.
"Dalam kes itu, peguam utama Datuk Naran Singh telah menarik diri dan kami telah menyemak fail berkaitan isu permohonan (permintaan untuk jurubahasa Ibrani), tetapi kami tidak memperoleh arahan terkini (daripada Naran)," kata Ooi semasa pengurusan kes di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang hari ini.
Sehubungan itu, Hakim Mohd Zaki menetapkan semula tarikh perbicaraan selama 14 hari bermula Mac ini, dengan sesi berlangsung di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang. Tarikh itu adalah pada 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun dan 23 hingga 26 Jun 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam sebelum itu mempersoalkan tindakan pembelaan yang sebelum ini telah beberapa kali memohon penangguhan perbicaraan kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani namun kini bersedia untuk dibicara dalam bahasa Inggeris.
"Sebelum ini, Naran memohon penangguhan bagi menyelesaikan isu jurubahasa dan pendengaran bagi penangguhan telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Feb ini. Pihak pendakwaan ingin tahu sekiranya permohonan ini masih ingin diteruskan oleh pembelaan," katanya.
Hakim Mohd Zaki mengarahkan pihak-pihak yang terlibat untuk memaklumkan sebarang keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu itu kepada mahkamah yang mendengar perbicaraan.
"Isu mengenai penangguhan dan jurubahasa telah diangkat ke Mahkamah Tinggi, tunggu hingga 28 Feb ini dan sebarang arahan akan diputuskan kemudian.
"Di Mahkamah Tinggi nanti pun kita tak tahu peguam mana yang akan muncul, sama ada Ooi (Jeffrey Ooi) atau peguam lain," kata hakim itu.
Pada 13 Jan lepas, Hakim Norina Zainol Abidin yang sebelum ini mendengar kes berkenaan membenarkan perbicaraan ditangguhkan dan melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini berikutan isu pertikaian daripada pembelaan mengenai jurubahasa Ibrani.
Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atai kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang di sini antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)