Hsu dikenali ramai menerusi peranannya dalam siri TV "Meteor Garden" pada 2001, yang menjadikannya bintang besar di negara-negara seperti Malaysia, Filipina, Indonesia, dan Thailand.
Kematian Hsu disahkan oleh adiknya, Dee Hsu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada TVBS
News Taiwan pada Isnin.
"Semasa Tahun Baharu Cina, keluarga kami datang bercuti di Jepun. Kakak saya, Barbie, telah meninggalkan kami akibat pneumonia yang disebabkan oleh influenza,” kata Dee Hsu.
Hsu memulakan kerjayanya dalam industri hiburan seawal usia 17 tahun sebagai pasangan duet pop bersama adiknya, Dee.
Khabar angin mengenai kematian Hsu bertiup kencang sejak Ahad lalu, yang kemudiannya disahkan pada Isnin, mengejutkan peminat dan mencetuskan penghargaan serta ucapan takziah di media sosial.
Hsu pernah mengalami masalah kesihatan seperti epilepsi dan penyakit jantung, dan pernah dimasukkan ke hospital akibat sawan sebelum ini.
Dalam "Meteor Garden," Hsu memegang watak Shancai, seorang pelajar miskin yang terlibat dalam kisah cinta dengan pewaris keluarga kaya, yang dilakonkan oleh anggota kumpulan boyband Taiwan, F4.
"Meteor Garden" adalah adaptasi manga Jepun tahun 1990-an dan telah diterjemahkan ke beberapa bahasa, dengan versi baharu turut diterbitkan di negara-negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, China, dan India.
Rakan pelakon Hsu dalam Meteor Garden, Ken Chu, turut meluahkan rasa terkejut di Instagram dengan gambar hitam dan foto berkumpulan bersama Hsu.