Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing berkata berkata pusat khidmatnya menerima lebih 30 aduan berkaitan kes berkenaan di dalam kawasan Parlimennya dan semakan lanjut mendapati terdapat tambahan 30 kes lagi di daerah lain yang turut dilaporkan kepada pusat khidmat wakil rakyat.
Beliau berkata lebih memeranjatkan, jumlah tuntutan berjumlah antara RM30,000 hingga RM1.2 juta dikenakan kepada pemilik premis melalui peguam yang dilantik TNB, selain berhadapan proses tindakan mahkamah.
Tan berkata pihak yang berkaitan wajar memandang serius perkara berkenaan terutamanya tentang nasib pemilik premis yang kebanyakannya tidak mampu membayar jumlah tuntutan tinggi.
"Perlu ada pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi memastikan tanggungjawab bersama antara pemilik rumah dengan penyewa terhadap penggunaan elektrik, tidak hanya menyalahkan satu pihak," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tan berkata selain itu, perlu ada penguatkuasaan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) di TNB serta Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mengelakkan penyalahgunaan identiti dan pada masa sama mewujudkan pangkalan data pusat untuk merekod atau memantau tingkah laku penyewa.
Beliau berkata pihaknya turut memohon supaya TNB menawarkan pelan bayaran balik berstruktur kepada mangsa yang terkesan untuk meringankan beban mereka.
Menurut Tan, hal itu kerana ia merupakan kes penganiayaan apabila pemilik premis tidak tahu-menahu berkenaan aktiviti haram berkenaan, namun dikenakan tindakan dengan perlu menanggung sejumlah tuntutan.
"Perkara ini akan dibawa dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Februari ini agar pindaan, penguatkuasaan dan naik taraf dapat dilaksanakan supaya pemilik bangunan juga tidak menanggung risiko atas tuduhan sebegini," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik salun rambut Yen Pit Yun, 43, berkata dia menyewakan bahagian atas rumah kedai miliknya di Panorama Lapangan Perdana kepada seorang penyewa dengan kadar RM700 sebulan pada Julai hingga Ogos tahun lepas.
"Saya masih ingat pada 30 Ogos, penyewa membawa naik wayar tebal dalam kuantiti yang banyak dan saya terus buat laporan polis. Ketika operasi (dijalankan polis), penyewa melarikan diri dan gagal dihubungi.
"Susulan itu, saman tetap dikenakan atas dakwaan kerosakan yang dilakukan penyewa serta kerugian yang ditanggung oleh TNB dan tuntutan yang dikenakan berjumlah RM1.2 juta, dan saya buntu," katanya.
-- BERNAMA