KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Parlimen esok bagi menangani kebimbangan mengenai isu kenaikan kadar premium insurans perubatan. 

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang mengesahkan perkara itu berkata taklimat berkenaan akan menyaksikan wakil BNM memberi penjelasan mengenai proses kelulusan bagi kenaikan premium.

"Setiap kali berlaku kenaikan (premium insurans) mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada BNM. Jadi kami ingin memahami kriteria untuk kelulusan ini dan bagaimana keputusan dibuat. Sama ada BNM akan meluluskan atau tidak, ia bergantung kepada pembentangan mereka (syarikat insurans) kepada BNM.

"Kami berharap sesi esok akan memberikan kami maklumat yang lebih jelas mengenai isu-isu ini," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu Sim dan beberapa Ahli Parlimen PKR membangkitkan isu mengenai kenaikan premium insurans susulan menerima desakan rakyat untuk mengkaji kenaikan caj hospital swasta yang melambung selain dikenakan caj yang tidak munasabah. 

Turut serta Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), Dr Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), R. Yuneswaran (PH-Segamat), Chiew Choon Man (PH-Miri) dan Senator Amir Ghazali. 

Ahli Parlimen berkenaan dalam kenyataan bersama memaklumkan pihak mereka telah menerima 197 aduan daripada rakyat seluruh negara termasuk mengenai caj hospital swasta yang tinggi. 

"Kami juga menerima maklum balas daripada beberapa pakar perubatan yang mempunyai berpuluh tahun pengalaman dalam hospital swasta. 

"Mereka berpendapat antara sebab caj hospital swasta naik adalah kerana kemasukan hospital yang tidak wajar, pelaksanaan prosedur berlebihan, pemeriksaan yang tidak perlu membabitkan imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), imbasan CT (Tomografi Berkomputer) dan imbasan PET (Tomografi Pelepasan Positron)," katanya. 

Faktor lain yang turut menyumbang kepada peningkatan kos termasuk kenaikan jumlah pampasan yang diberikan oleh mahkamah dalam kes-kes kecuaian perubatan.

Justeru ahli-ahli Parlimen berkenaan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan BNM serta pihak berkepentingan menubuhkan jawatankuasa khas bersama bagi menyiasat dan mencari penyelesaian yang mampan dalam isu kenaikan kadar premium insurans perubatan dan caj hospital swasta, demi kepentingan hospital swasta, syarikat insurans dan rakyat.

-- BERNAMA