JASIN: Seorang pemuda dikhuatiri lemas manakala tiga lagi ahli keluarganya terselamat selepas bot digunakan mereka untuk menjala ikan terbalik di Loji Lanchang, Kampung Lanchang, Jasin, pagi tadi.

Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan I Abdillah Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.36 pagi sebelum  anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Jasin Bestari dikejarkan ke lokasi.

“Kita gerakkan 12 anggota awal dan setibanya di lokasi, tiga daripada mangsa iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun, wanita berusia 35 tahun dan kanak-kanak lelaki 10 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

“Bagaimanapun setakat ini seorang mangsa iaitu pemuda berusia 21 tahun masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga mangsa yang selamat telah diberikan rawatan awal oleh pihak bomba dan diserahkan kepada pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pencarian mangsa yang belum dijumpai sedang dijalankan menggunakan teknik water surface membabitkan dua buah bot dari BBP Jasin Bestari dan orang awam.