Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata penutupan itu bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkaitan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian.
"Punca runtuhan masih dalam siasatan, dan keutamaan kami ketika ini adalah memastikan pesakit dialisis dapat menerima rawatan seperti biasa.
"Pesakit yang terjejas akan dihantar ke pusat dialisis lain bagi memastikan rawatan mereka tidak terganggu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.
Beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan rawatan dialisis tetap diteruskan tanpa menjejaskan kebajikan pesakit.
Dr Zaini berkata operasi Unit Hemodialisis Hospital Pasir Mas akan dihentikan buat sementara waktu, dengan tempoh baik pulih bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami.
"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi sebelum laporan lengkap diperoleh daripada pihak berkenaan.
"Namun, kami akan berusaha meminimumkan kesulitan yang dihadapi pesakit dan memastikan rawatan terbaik terus diberikan kepada mereka," katanya.
Terdahulu, media melaporkan sebahagian bumbung unit berkenaan runtuh lewat malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Dr Zaini memaklumkan tiada laporan mengenai wabak kencing tikus di Kelantan pasca banjir, dan pemeriksaan kesihatan berkala sedang dijalankan.
- BERNAMA
\
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)