SETIA ALAM: Jurujual, Aishah Ismail menyifatkan insiden tembak di Setia City Mall, Setia Alam malam tadi satu kejadian yang tidak dapat dilupakan.

Kata wanita berusia 20 tahun itu, pada awalnya dia menyangka bunyi tembakan itu datang dari barang berat yang jatuh.

“Mula-mula, saya ingat ada barang berat jatuh tapi tidak mungkin bunyi barang jatuh kuat macam itu. Kami semua tertanya-tanya, bunyi apa.

“Saya berdiri di depan, saya nampak dua pekerja pembersihan lari ke arah tangga.

“Bila bunyi das tembakan ketiga, saya nampak ramai orang bertempiaran lari mencari perlindungan. Jadi saya lari selaju mana yang boleh untuk selamatkan diri,” katanya.

Dalam masa sama, Aishah yang kembali bertugas di reruai minyak wangi pada hari ini berharap insiden sebegini tidak lagi berlaku di sini.

Seorang lagi saksi kejadian, jurujual, Uyun Ridhwan berkata sempat membawa masuk empat orang awam ke dalam kedai untuk berlindung.

“Dalam 9.40 malam, waktu itu saya tengah buat closing kedai. Saya dengar bunyi kuat, mula-mula saya ingat bunyi pinggan jatuh dari kedai depan.

“Selepas beberapa kali saya tanya staff, ini macam bunyi tembakan. Saya arah mereka menyorok. Depan kedai dah kecoh.

“Ada pelanggan yang masuk dalam kedai untuk selamatkan diri. Mereka berlindung di bawah kaunter,” katanya.

Tambahnya, dia mendapat arahan daripada pihak pengurusan untuk menurunkan shutter secepat mungkin.

“Saya beritahu mereka (pelanggan) kalau nak keluar boleh guna pintu kecemasan di belakang kedai dan berkumpul di loading bay.

“Sekitar jam 10 lebih, pihak polis datang. Baru kami berani untuk keluar dan tutup kedai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima maklumat orang awam berlakunya kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam kejadian itu bekerja sebagai tukang cuci di dalam premis berkenaan dan ketika dia sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1, suspek tiba-tiba telah melepaskan empat das tembakan mengenai kaki serta punggung mangsa.

Sementara itu penyampai radio, Fizi Ali yang ditemui hari ini melahirkan rasa terkejut dengan insiden tembakan itu.

Namun begitu, Fizi memaklumkan, dia tiada masalah mengunjungi pusat beli belah ini memandangkan pihak pengurusan telah mempertingkatkan aspek keselamatan pada tahap maksimum.

“Saya sebenarnya terkejut juga sebab hari ini memang dah rancang hantar anak kelas ballet di sini.

“Kalau fikir logik, saya rasa tiada masalah untuk datang sini hari ini. Kejadian sudah jadi semalam, mustahil dia (pelaku) akan datang kali kedua,” katanya kepada Astro AWANI.

Walau bagaimanapun, Fizi yang berkunjung ke pusat beli belah itu pada pagi ini memberitahu dia turut berjaga-jaga.

“Alhamdulillah setakat ini semua selamat, pihak pengurusan juga tempatkan ramai pengawal keselamatan di sini harini. Insya-Allah semua selamat,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung, Hana Farina Awaluddin berkata, ini merupakan kejadian pertama berlaku sepanjang sembilan tahun menetap di Setia Alam.

Ibu dua anak ini akui sering berkunjung ke pusat beli belah ini pada hujung minggu.

“Saya tinggal lima minit dari sini. Jadi setiap minggu, dalam dua tiga kali saya bawa anak-anak ke sini.

“Jadi bila berlaku kejadian sebegini, sudah tentu saya risau cuma saya percaya pihak pengurusan Setia City Mall memastikan langkah keselamatan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Saya tiada masalah untuk datang ke sini bawa anak-anak kerana saya percaya pihak berkuasa sudah menjalankan tanggungjawab sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, polis tdilaporkan elah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki warga tempatan berumur 30-an yang berkulit cerah itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.