KUALA LUMPUR: Seorang buruh ladang kelapa sawit didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyembunyikan pesalah terlibat insiden langgar lari membabitkan dua kenderaan di depan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang lama, baru-baru ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Din turut memerintahkan S Teenesh, 40, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa melindungi seseorang diketahui adalah pesalah yang melakukan kesalahan cubaan mematikan orang dengan salah bagi mengelak daripada hukuman dan undang-undang di sebuah rumah kongsi ladang kelapa sawit Kampung Chennah di Jelebu, Negeri Sembilan pada 6.20 petang, 7 Feb lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes pada 29 Jan lepas, seorang lelaki yang juga pengurus pusat hiburan telah melihat dua kenderaan keluar dari bangunan tempat letak kereta dipandu secara melulu melalui jalan di hadapan kelab itu.

Dua kenderaan terbabit secara tiba-tiba melanggar sekumpulan lelaki yang berada di hadapan kelab sehingga menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita cedera.

Seorang wanita yang tinggal di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, telah terbangun dari tidur kerana dengar bunyi bising sebelum melihat melalui tingkap dan ternampak sekumpulan lelaki sedang bergaduh.

Wanita itu kemudian mengambil telefon bimbitnya serta merakam kejadian tersebut sebelum video rakaman itu tular di media sosial.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa menjelaskan bahawa tertuduh melindungi pesalah dengan menyembunyikannya di dalam rumah kongsi dan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Teenesh.

Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili Teenesh memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah serta telah menyesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahannya itu.

"Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,"" kata Mohamad Zaidi.

-- BERNAMA