KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) hari ini mengumumkan pelaksanaan perundingan awam di seluruh negara mengenai Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri.

CMCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu bertujuan menyediakan garis panduan etika yang jelas bagi pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri dengan keseimbangan antara keperluan untuk maklumat dan kepentingan menjaga kesihatan mental masyarakat.

"Garis panduan ini dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan pakar kesihatan mental, profesional media, pertubuhan masyarakat sivil dan penggubal dasar bagi memastikan ia praktikal dan memberi impak," menurut kenyataan itu.

Menurut CMCF, garis panduan itu merangkumi pelbagai pertimbangan antaranya Garis Panduan Untuk Pempengaruh; Garis Panduan Pelaporan Bunuh Diri Selebriti; Garis Panduan Pelaporan Tentang Membahayakan Diri Sendiri ("Self-Harm"); Garis Panduan untuk Pengguna Media Sosial serta Garis Panduan Mengenai Gambaran Bunuh Diri dan Membahayakan Diri Sendiri Dalam Drama dan Filem.

Draf garis panduan berkenaan boleh diakses di laman web rasmi CMCF www.contentforum.my dan pihak berkepentingan boleh memberikan maklum balas menerusi perundingan awam yang berlangsung dari 28 Jan hingga 13 Mac ini atau di laman web berkenaan.

Menurut kenyataan itu, CMCF juga akan menganjurkan sesi dialog awam dan webinar untuk melibatkan pihak berkepentingan secara langsung selain memberikan peluang untuk dialog terbuka dan perbincangan lebih mendalam mengenai garis panduan yang dicadangkan.

Ketua Pegawai CMCF Mediha Mahmood berkata walaupun garis panduan itu pada awalnya dilaksanakan sebagai rangka kerja bagi pelaporan media yang beretika, namun pihaknya memahami bahawa gambaran bunuh diri dalam semua bentuk kandungan lain juga membawa risiko signifikan.

"Kami menggesa semua rakyat Malaysia - pengamal media, profesional kesihatan mental, individu yang berpengalaman, dan orang awam - untuk mengambil bahagian dalam konsultasi ini dan menyumbang kepada perbincangan yang amat penting ini."

"Garis panduan yang dicadangkan memberikan cadangan praktikal untuk pelaporan etika dengan penekanan untuk mengelakkan sensasi, melindungi maruah individu dan keluarga mereka, serta menyediakan maklumat yang tepat mengenai sumber-sumber kesihatan mental," katanya menerusi kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Profesor Psikiatri dan Pakar Perunding Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Chan Lai Fong berkata inisiatif CMCF itu merupakan usaha komprehensif merangkumi semua aspek media serta bertujuan mewujudkan pendekatan yang bertanggungjawab dan penuh empati sekali gus melahirkan masyarakat lebih selamat selain berpengetahuan.

-- BERNAMA