Meskipun terpaksa menanggung kerugian ekoran kedai tidak beroperasi, namun kebanyakan pengusaha kedai gunting rambut tetap tidak bersetuju sekiranya mereka dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula 15 April ini.

Pengasas Matt Barber Shop, Mohd Yusof Taib, 38, berkata beliau lebih rela menanggung bayaran sewa bagi 11 cawangan kedainya yang keseluruhan berjumlah RM25,000 sebulan walaupun tiada keuntungan sepanjang PKP ini, bagi memastikan pandemik COVID-19 dapat dihapuskan sepenuhnya.

"Biarlah kita rugi dalam jangka pendek ini sebelum rugi lebih besar sekiranya COVID-19 menular dengan lebih dahsyat nanti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Yusof yang memiliki cawangan kedai di sekitar Terengganu dan Kuantan, Pahang berkata beliau juga lebih mementingkan keselamatan 60 pekerjanya yang berhadapan dengan risiko jangkitan COVID-19 ketika bertemu dengan ramai pelanggan, apatah lagi jumlah kes baharu bagi pandemik tersebut masih tinggi.

Dalam pada itu katanya orang ramai boleh mengambil inisiatif memotong sendiri rambut mereka di rumah dengan merujuk pelbagai video tutorial menggunting rambut yang terdapat di YouTube.

"Kalau beli mesin potong rambut sendiri lebih bagus tetapi paling murah pun RM200. Boleh juga mereka guna gunting rambut yang biasa walaupun agak sukar. Gunting ikut potongan yang asas sudah memadai," katanya.

Sementara itu Ahmad Tarmizi Abdul Rashid, 36, yang mempunyai dua cawangan kedai gunting rambut di sekitar Kuala Terengganu berkata perkhidmatan menggunting rambut yang memerlukan tukang gunting berhubung dengan pelanggan dalam jarak yang dekat, boleh meningkatkan risiko penularan pandemik itu.

"Kami sebagai tukang gunting pun tidak berani. Bukan risau keselamatan diri sendiri sahaja tetapi risau apabila pulang ke rumah, anak-anak dan isteri pula yang terdedah dengan jangkitan ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi juga khuatir sekiranya orang ramai sengaja menggunakan tujuan menggunting rambut sebagai alasan untuk keluar dari rumah.

"Nanti bukan sahaja untuk keluar beli barang, untuk gunting rambut pun boleh dijadikan alasan keluar dari rumah. Jadi tiada gunalah arahan sepanjang PKP ini kalau ramai pula yang keluar dari rumah," katanya.

Sementara itu seorang pesara Mohammad Imran Bahar, 59, berkata beliau memilih untuk menggunting sendiri rambutnya walaupun kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi kelak.

"Mujurlah saya ada beli peralatan gunting rambut sendiri beberapa tahun lepas. Dua anak lelaki saya yang berumur 16 dan 14 tahun pun saya tidak akan benarkan menggunting di kedai dalam tempoh PKP ini. Lebih baik saya potong sendiri rambut mereka," katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mencadangkan beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi semula seperti kedai gunting rambut, semasa tempoh PKP fasa ketiga, ditangguhkan sementara waktu.

Dalam pada itu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini dilaporkan memutuskan untuk tidak membenarkan kedai gunting beroperasi sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.

-- BERNAMA