Beliau berkata DPT BLN1/2025 yang diwartakan hari ini, mengandungi 37,683 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Jan 2025 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, ia mengandungi 7,957 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 1,249 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
"SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan 2025 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2025," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ikmalrudin berkata lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
Beliau berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2025, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
-- BERNAMA
