Beliau berkata lebih 100,000 mangsa banjir masih belum menerima bantuan meskipun perkara itu perlu diselesaikan segera.
"Kita menerima laporan bahawa ramai mangsa banjir belum menerima bantuan. Kerajaan komited memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang berkelayakan. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri telah mengarahkan supaya isu ini disemak hingga ke akar umbi bagi memastikan tiada yang tercicir.
"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), mangsa banjir yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) layak menerima bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara dan agensi-agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sumbangan Skuad Ihsan MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan dan pakaian seragam sekolah kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bendang Nyior di sini hari ini.
Shamsul Iskandar berkata beliau tidak mahu mendengar kes mangsa banjir tercicir daripada menerima bantuan sedangkan mereka layak menerimanya berdasarkan pendaftaran di PPS.
Beliau berharap aduan berkenaan dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan bantuan disalurkan kepada semua mangsa yang layak.
"Mengikut SOP, bantuan sepatutnya diberikan dalam tempoh sebulan tetapi kini sudah dua bulan berlalu. Peruntukan telah ada, namun isu ini masih berlanjutan melibatkan beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah," katanya.
Shamsul Iskandar turut menyeru mangsa banjir yang belum menerima bantuan agar melaporkan perkara itu kepada pemimpin masyarakat bagi memudahkan tuntutan dibuat dan mengelakkan isu berbangkit.
-- BERNAMA