PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli menafikan dakwaan bahawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan menghapuskan bangsa Melayu serta golongan B40 dan M40 di bandar.

Beliau berkata kerajaan memegang teguh 10 prinsip bagi memastikan ketelusan pentadbiran dan menjamin hak pemilik hartanah berdaftar dalam membangunkan rang undang-undang itu.

"Antara prinsip utama Rang Undang-Undang PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah dan penyelarasan kos caj penyelenggaraan yang wajar.

"Gubalan Rang Undang-Undang PSB tidak sama sekali menyebabkan pindaan kepada akta-akta lain seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Kota Bharu iaitu Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah 1960," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan Rang Undang-Undang PSB sebagai taktik halus menyingkirkan Melayu daripada menetap di kawasan bandar dengan menurunkan nilai ambang persetujuan bagi pembangunan semula kawasan perumahan strata.

Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) juga dilaporkan berkata penggubalan perudangan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa.

Mengulas lanjut, Alias berkata Rang Undang-Undang PSB akan melengkapi dan mempunyai peruntukan tambahan bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik dan pemunya hartanah sedia ada.

Beliau berkata kajian kepada lebih 17 akta berkaitan pembangunan hartanah telah dilaksanakan bagi mengelakkan pertindihan dan percanggahan dari sudut perundangan.

Alias turut menyangkal dakwaan Rang Undang-Undang PSB tidak dipersetujui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

"Hakikatnya JKPTG melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah bersetuju secara prinsip terhadap cadangan penggubalan RUU ini di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos, 2024," katanya.

Beliau berkata pembaharuan semula bandar merupakan kaedah paling sesuai bagi menyelesaikan isu kemaslahatan perbandaran termasuk kewujudan bangunan usang dan tidak selamat diduduki, selaras dengan amalan terbaik pembangunan bandar dunia.

"Keputusan membiarkan bangunan lama kekal usang dengan kemudahan dan infrastruktur yang daif dan tidak berkualiti bukan satu pilihan dalam menjalankan tatakelola dan pengurusan bandar yang berkesan.

"Ikhtiar dan dokongan pelbagai pihak adalah diperlukan dan pendekatan 'tidak berbuat apa-apa' bukanlah pilihan Kerajaan MADANI yang memfokuskan kepada aspek kemanusiaan untuk keselesaan dan kesejahteraan rakyat secara jangka panjang," katanya.

Alias menambah tindakan 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam yang baru-baru ini menyerahkan memorandum membantah Rang Undang-Undang PSB kepada PN akan membantutkan proses penggubalan perundangan itu yang dirangka demi kepentingan dan manfaat rakyat khususnya komuniti dan pemilik hartanah usang di kawasan bandar.

-- BERNAMA