Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, unit integriti DBKL akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk Afdlin bagi melengkapkan siasatan berkenaan.
“Tidak apa kalau saudara Afdlin mahu menolak dan menafikan tuduhan tersebut, itu hak beliau.
“Tetapi kita dari sudut tata kelola jabatan khususnya dan agensi kena jalankan (siasatan) yang sepatutnya.
“Siasatan sedang dijalankan saya. Menunggu hasilnya, kalau (Afdlin) tidak bersalah, tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana isu salah laku dan tata kelola.
Justeru, beliau telah meminta tindakan segera dilaksanakan oleh DBKL berhubung salah laku itu.
“Kita di Wilayah Persekutuan, kita perkenal satu budaya kerja harmoni iaitu integriti.
“Ia bermaksud tata kelola yang baik dan elak rasuah supya akhirnya perkhidmatan dapat diberikan yang terbaik,” tambah Dr Zaliha.
Sebelum ini, media melaporkan DBKL melancarkan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif dilapor mengesahkan siasatan itu dan sedang bekerjasama rapat dengan unit integriti DBKL.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial, sejak Jumaat.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Dalam kenyataan susulan di media sosial, Afdlin menafikan dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah DBKL.
Dakwa Afdlin, isu berkenaan sengaja dimainkan untuk memburukkan namanya.