KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk seorang bergelar Datuk kerana disyaki terlibat rasuah serta mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pengeluaran wang syarikat kira-kira RM2.6 juta.

Sumber SPRM memaklumkan empat individu terlibat adalah dua pengarah syarikat dan dua naib presiden kanan syarikat berusia antara 50 hingga 60-an.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk berkenaan dipercayai telah berpakat dengan seorang suspek yang juga pengarah syarikat untuk memberi rasuah bagi mendapatkan tender penjualan tanah.

"Wang rasuah itu untuk dibayar kepada seorang pegawai konglomerat multinasional di negara ini bagi mendapatkan tender penjualan tanah di Klang.

"Siasatan awal mendapati, pengarah syarikat yang berpakat dengan Datuk berkenaan bersama dua naib presiden kanan syarikatnya itu, berpakat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu untuk mengeluarkan wang syarikat berjumlah kira-kra RM2.6 juta yang kemudian dipindahkan ke akaun syarikat lain," katanya.

Susulan itu, semua individu terbabit termasuk seorang pengurus akaun telah ditahan sekitar 5 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Menurut sumber itu, lelaki bergelar Datuk tersebut direman selama lima hari hingga 17 Feb manakala tiga lagi suspek masing-masing membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berjawatan pengarah serta dua naib presiden kanan syarikat direman empat hari hingga Ahad.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) serta Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, katanya pengurus akaun syarikat berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

-- BERNAMA