KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat laporan polis terhadap pihak yang dikesan mengambil kesempatan memanipulasikan lesen-lesen Bazar Ramadan bagi tahun ini.


Ringkasan AI
  • DBKL membuat laporan polis terhadap pihak yang memanipulasikan lesen Bazar Ramadan, dengan tindakan keras akan diambil.
  • DBKL mengambil alih penganjuran 40 lokasi Bazar Ramadan dan dua lokasi Bazar Aidilfitri, memastikan tiada manipulasi atau penjualan tapak.
  • Sewa tapak dikurangkan kepada RM500, membantu peniaga menjual pada harga kompetitif dan mengurangkan fenomena Alibaba.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata agak mengecewakan apabila masih terdapat cubaan penjualan tapak yang dikesan melalui saluran WhatsApp.

"Saya ada nombor telefon individu itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih keras," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli yang ingin tahu bagaimana kementerian memberi jaminan bahawa lesen penjaja Bazar Ramadan di sekitar Wilayah Persekutuan tidak lagi dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti sebelum ini.

Dr Zaliha menjelaskan DBKL yang mengambil alih penganjuran sepenuhnya 40 lokasi Bazar Ramadan dan dua lokasi Bazar Aidilfitri, yakin tidak berlaku manipulasi atau penjualan tapak berikutan pengurusan dan penawaran dilakukan secara terus menerusi dalam talian kepada pemohon dan peniaga.

"Bagi petak-petak yang masih terdapat kekosongan, permohonan telah dibuka semula dengan kaedah first come first served untuk memberi peluang kepada para peniaga mendapatkan petak bazar," katanya.

Dr Zaliha berkata Perbadanan Putrajaya yang menguruskan empat tapak dan Perbadanan Labuan yang membuka dua lokasi tapak Bazar Ramadan turut memberi jaminan tiada lesen penjaja kepada peniaga yang akan dimanipulasi dan penguatkuasaan oleh pegawai-pegawai perbadanan dilaksanakan secara berkala sepanjang Ramadan tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hatta mengenai perkembangan setakat dua hari pelaksanaan Bazar Ramadan berikutan sewa tapak yang dikurangkan kepada RM500, Dr Zaliha berkata terdapat peniaga memaklumkan hasil perniagaan hari pertama mampu memulangkan modal dikeluarkan mereka.

"Walaupun kita masih dengar aduan dan komen di media sosial mengatakan harga (jualan) masih sama dengan tahun sebelum ini tetapi sepatutnya harga sewaan rendah ini dapat mengurangkan fenomena Alibaba dan ia juga membolehkan peniaga menjual pada harga kompetitif, namun faktor lain seperti kos bahan mentah serta margin keuntungan masih jadi penentu utama harga jualan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad sama ada Bazar Ramadan mempunyai potensi produk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan bagaimana kerajaan memastikan ia tetap menawarkan juadah dan kuih tradisional, Dr Zaliha berkata beliau berpandangan ia boleh dianjurkan dengan konsep tertentu bagi menarik pelancong domestik dan antarabangsa.

"Mungkin tahun hadapan kita boleh mengadakan konsep menjual makanan tradisi dengan pakaian tradisi dan sebagainya yang kita boleh fikirkan sebagai tarikan pelancong pada masa akan datang.

"Dalam keadaan Bazar Ramadan kita tambah baik dengan ada pintu gerbang dan khemah seragam dengan pakaian peniaga seragam yang kita beri apron dan topi sama, malah kita lihat keadaan bersih juga boleh jadi tarikan pelancong," katanya.

-- BERNAMA