PUTRAJAYA: Debat secara terbuka yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.


Ringkasan AI
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong pandangan bahawa debat terbuka mengenai agama perlu dihentikan untuk mengelakkan perpecahan dalam masyarakat.
  • Debat terbuka mengenai isu agama boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan, mengancam kesatuan dan perpaduan masyarakat berbilang agama dan bangsa.
  • Kenyataan ini dibuat semasa Program ERAT Ramadan 2025, dengan kerjasama EAIC, JAKIM, dan Warisan Ummah Ikhlas.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata beliau menyokong pandangan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang bahawa debat berkaitan agama tidak wajar diadakan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Saya sokong sepenuhnya pandangan Datuk Aaron kerana debat terbuka mengenai isu-isu agama boleh menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan rakyat. Kita mahu memastikan kesatuan dan perpaduan masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini terus diperkukuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program ERAT Ramadan 2025 yang dianjurkan bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Warisan Ummah Ikhlas di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Aaron Ago Dagang menyuarakan kebimbangannya mengenai kesan negatif debat terbuka berkaitan agama yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Jumaat lepas media melaporkan Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan menetapkan tarikh debat bersama pendakwah bebas Zamri Vinoth pada 23 Mac ini yang akan dianjurkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia.

-- BERNAMA