KOTA BHARU: Polis minta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Khairul Naeim Che Deraman, 29, yang dilaporkan hilang sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, maklumat tersebut diperoleh selepas abang mangsa tampil membuat laporan berhubung kehilangan lelaki terbabit pada jam 12.43 tengah hari.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan bersama penduduk di kawasan sekitar kali terakhir mangsa dilihat iaitu di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Maka Joh, Labok.

"Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan mangsa telah terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pihak polis telah mengaktifkan pos kawalan tempat kejadian (PKTK) dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ujarnya, misi pencarian telah memasuki hari kedua dengan kekuatan anggota seramai 34 orang termasuk tiga ekor anjing pengesan JBPM serta empat bot.

Ahmad Shafiki memberitahu, skop pencarian melibatkan jarak laluan sungai sejauh 5.3 kilometer (km) dari Kampung Maka Joh sehingga ke Mata Ayer, Labok.

"Setakat ini, kami belum mendapat sebarang tanda atau petunjuk dan kes ini disiasat bawah kertas enkuiri polis (KEP) orang hilang sehingga perkembangan seterusnya diperoleh," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Maka, Pulai Chondong di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.40 petang. - Sinar Harian