Ringkasan AI
- Malaysia mengamalkan pendekatan terbuka dan pragmatik dalam hubungan dengan AS dan China berdasarkan kepentingan bersama.
- AS kekal sebagai pelabur terbesar di Malaysia, manakala China menjadi rakan dagang utama sejak 2009.
- Hubungan kukuh dengan kedua-dua negara adalah strategi penting untuk melindungi kepentingan negara dan menghadapi ketidaktentuan global.
Menurut beliau, hubungan dengan kedua-dua negara besar ini berteraskan penghormatan bersama dan perkongsian kepentingan yang saling menguntungkan.
Walaupun terdapat pandangan bahawa Malaysia beralih kepada China, Anwar menegaskan bahawa AS masih kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi.
“China pula telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, menandakan 16 tahun hubungan perdagangan yang berkembang pesat dan menjadi pemacu utama dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.
Anwar menambah, menjalin hubungan yang kukuh dengan AS dan China bukan hanya berkisar soal pragmatisme ekonomi, tetapi ia juga merupakan keperluan strategik untuk melindungi kepentingan negara Malaysia dalam dunia yang semakin tidak menentu.
“Dengan menggalakkan penglibatan yang seimbang dan konstruktif antara kedua-duanya, Malaysia memastikan asas ekonomi yang lebih pelbagai, mengurangkan pergantungan berlebihan, dan memperkukuhkan kedudukan sebagai ekonomi yang tahan lasak, terbuka dan berdaya saing,” tambah beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan bahawa Malaysia akan memastikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan, kewangan, dan teknologi yang berdaya saing dapat bertahan dalam menghadapi perubahan-perubahan global yang berlaku di sekeliling negara.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa negara-negara baharu seperti Korea Selatan, India, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Turki, Brazil, dan Afrika Selatan sedang membentuk dan mengubah keadaan ekonomi yang tidak menentu, yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan syarahan umum bertajuk Kelebihan Adaptif: Strategi Global Malaysia dalam Era Ketidaktentuan di London School of Economics pada pagi Jumaat waktu tempatan.