PETALING JAYA: Walaupun tempang setelah dihukum beraksi dengan 10 pemain selama lebih 80 minit, Selangor FC tetap membuktikan kehebatan mereka dengan menewaskan juara bertahan PDRM FC 3-2 pada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam tadi.

Sebaik sahaja perlawanan dimulakan, Gergasi Merah terus melaungkan amaran awal apabila Alvin Fortes meledakkan gol pertama hasil umpanan Ronnie Fernandez seawal minit ketiga.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila, tujuh minit kemudian (minit ke-11), kapten Selangor Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran terhadap penyerang PDRM Shahrel Fikri Fauzi.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, Selangor enggan mengalah dengan Fortes menggandakan jaringan pada minit ke-18. Namun, kealpaan benteng pertahanan membawa padah apabila Shahrel merapatkan jurang selepas berjaya menewaskan penjaga gol Selangor Kamalullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ke-27.

Pemain pertahanan PDRM Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli, menyamakan kedudukan pada minit ke-39.

Malah, PDRM hampir menambah jaringan pada masa kecederaan menerusi percubaan Fadi Mahmoud Awad Salleh, namun usahanya gagal disempurnakan dengan baik.

Bersambung pada babak kedua, penyerang import, Ali Olwan muncul wira Selangor apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-51, sekali gus menyaksikan keputusan kekal sehingga wisel penamat.

Pada minit ke-71, perlawanan terhenti seketika susulan insiden kekasaran antara penyerang Selangor Muhammad Fazly Mazlan dan penyerang PDRM Mohd Safiee Ahmad, yang menyaksikan Fazly terpaksa menerima rawatan sebelum perlawanan diteruskan seperti biasa.

Ketegangan semakin memuncak apabila satu lagi insiden kekasaran berlaku tiga minit kemudian, kali ini melibatkan penyerang PDRM Bruno Junichi yang melakukan terjahan keras terhadap pemain pertahanan Selangor Ahmad Zikri Mohd Khalili, sekali gus menambah debaran di atas padang sehingga minit akhir perlawanan.

Piala Cabaran diperkenalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sejak 2018, dengan Terengganu FC II (TFC II) bergelar juara pada edisi sulung, diikuti Johor Darul Ta'zim II (2019) dan PDRM FC pada musim 2023.

PDRM muncul juara Piala Cabaran musim lalu selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1 di pentas akhir.

Selangor dan PDRM seterusnya akan bertemu sekali lagi bagi final kedua pada 22 Feb ini di venue yang sama.

-- BERNAMA