KUALA LUMPUR: Dalam bidang hubungan antarabangsa, Malaysia menyaksikan satu tempoh diplomasi diraja yang signifikan di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sejak pelantikan Seri Paduka pada 31 Januari 2019, Al-Sultan Abdullah memainkan peranan penting dalam membawa nama Malaysia di arena global.
Walaupun peranan institusi Raja Berperlembagaan dalam urusan luar Malaysia adalah terhad, namun hubungan erat Seri Paduka dengan kerabat diraja di seluruh dunia dan kunjungan baginda membantu memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara berkenaan.
Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah berangkat ke luar negara bagi mengadakan lawatan rasmi dan khas sebanyak 24 kali sepanjang lima tahun Seri Paduka memegang jawatan tertinggi negara, antaranya ke Arab Saudi, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Jordan, Monaco, Qatar, Singapura dan United Kingdom (UK).
Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan lebih besar dalam mewakili negara di arena antarabangsa.
"Mereka (kerajaan) juga patut mempertimbangkan untuk membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakili negara pada peringkat antarabangsa di acara-acara tertentu.
"Beta bertitah begitu kerana ini mungkin boleh meningkatkan kaliber Yang di-Pertuan Agong di peringkat antarabangsa, supaya lebih dihormati," titah Al-Sultan Abdullah dalam wawancara bersama media sempena berakhirnya tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan.
Menurut Al-Sultan Abdullah, mesyuarat yang boleh diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong termasuk yang berkaitan dengan perubahan iklim dan isu kemanusiaan manakala perkara yang melibatkan pentadbiran seperti ekonomi dan keselamatan boleh diwakili oleh Perdana Menteri atau menteri-menteri Kabinet.
"Ini akan menunjukkan imej baik bagi negara, selain hanya mewakili negara dalam acara-acara upacara seperti kemangkatan dan pemahkotaan. Ini adalah acara-acara yang sangat formal. Beta fikir Raja-Raja Melayu yang ada hari ini cukup terpelajar, berpendidikan tinggi," titah baginda. Walaupun peranan Al-Sultan Abdullah sebagai Raja Berperlembagaan dalam urusan diplomasi adalah terhad, terutamanya dalam isu-isu global, cendekiawan terkemuka Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid berkata Seri Paduka telah memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa."Tidak dapat dinafikan, Seri Paduka tidak dapat memainkan peranan lebih besar di luar tugas-tugas perlembagaannya. Baginda tidak boleh bertitah dalam banyak perkara, selain daripada merapatkan atau lebih tepat lagi bersahabat dengan raja-raja lain dan baginda telah melaksanakannya," katanya.
Ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) itu menyentuh mengenai hubungan rapat Al-Sultan Abdullah dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang dapat dilihat melalui beberapa siri lawatan Seri Paduka ke UAE.
Al-Sultan Abdullah berangkat ke UAE sebanyak tujuh kali sepanjang pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong, terdiri daripada lawatan rasmi dan khas, termasuk bagi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden UAE Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan yang mangkat pada 13 Mei 2022.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Dubai dari 30 Nov hingga 4 Dis 2023.
Penyertaan aktif berkenaan mencerminkan kesungguhan Seri Paduka berdua untuk mewakili Malaysia di platform antarabangsa dalam menangani isu-isu global yang kritikal, mempamerkan kehadiran dan pengaruh Malaysia di pentas global.
Walaupun aktif di peringkat antarabangsa, Al-Sultan Abdullah tetap dengan keperibadian mesra rakyat dan menunjukkan pendekatan berpaksikan rakyat bagi memupuk ikatan yang kukuh antara rakyat jelata dengan istana.
Secara keseluruhannya, Al-Sultan Abdullah telah memainkan peranan yang signifikan dalam meningkatkan kehadiran dan diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa semasa pemerintahannya sebagai Yang di-.Pertuan Agong, walaupun terdapat kekangan dalam tanggungjawab perlembagaan dan mengekalkan pendekatan mesra rakyat.
Peranan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berakhir pada 30 Jan dan bakal digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 31 Jan untuk tempoh lima tahun.
-- BERNAMA
Bernama
Wed Jan 24 2024
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar bersama Presiden Singapura Halimah Yacob ketika berangkat ke Majlis Sambutan Negara. - Foto fail/BERNAMA
Agak mustahil pakej umrah bawah RM6,000
Berdasarkan situasi semasa, kos umrah yang ideal adalah antara RM6,000 dan RM7,000 serta akan meningkat pada cuti sekolah dan Ramadan.
[Data & Statistik] Prestasi ringgit setakat 16 Januari 2025
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari segi teknikal, ringgit berada di kedudukan terlebih jual yang mungkin menarik minat peniaga untuk membeli mata wang tempatan itu. Bagaimana prestasi ringgit berbanding dolar US setakat pagi ini?
[Data & Statistik] Prestasi Bursa Malaysia setakat 16 Januari 2025
Bagaimana prestasi dagangan FBM KLCI pada pembukaan Rabu? Ikuti perkembangan lanjut di Niaga AWANI.
US Chip War: Malaysia’s tech aspirations under pressure, what lies ahead?
As Malaysia sets its sights on becoming a global AI and semiconductor hub, Tier 2 classification and GPU import restrictions could be a roadblock. Will these challenges stifle its technological ambitions and deter global investors, or can Malaysia navigate its way to maintain its competitive edge in the global semiconductor supply chain?
YTL group akan labur £4 bilion di uk dalam tempoh 5 tahun
Pelaburan tersebut yang merangkumi bandar baharu paling pintar akan turut menyediakan lebih 30,000 pekerjaan di seluruh UK.
Perjanjian gencatan senjata, Hamas puji sokongan Malaysia semasa krisis Gaza
Ahli biro politik Hamas Khalil al-Hayya memuji "pendirian terhormat" Malaysia dalam menyokong Palestin semasa konflik yang berterusan.
Lelaki ditemukan mati dalam longkang berdekatan rumah terbakar
Seorang lelaki ditemukan mati di dalam longkang berdekatan sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kok Tiong.
Terbuka India 2025: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara pusingan 16 terbaik
Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan bukan pilihan dari Thailand.
Negara Arab mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata Gaza
Negara Arab mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas.
Nahas ngeri Ayer Keroh: Kertas siasatan syarikat lori disyaki punca kemalangan kini lengkap
Pengusaha syarikat lori itu telah dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Diplomasi diraja tanda penting pemerintahan Al-Sultan Abdullah
Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memainkan peranan lebih besar dalam mewakili negara di arena antarabangsa.