KUALA LUMPUR : Gara-gara ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang disyaki punca seorang lelaki tempatan melepaskan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain seperti dipetik Bernama berkata, ia merupakan hasil siasatan awal pihaknya dalam insiden itu.

"Bagaimanapun, motif sebenar suspek melepaskan tembakan adalah masih dalam siasatan," katanya.

Selain itu katanya, risikan awal mendapati ketika kejadian suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes berkenaan dapat selesaikan dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. 

Pada jam 10.50 malam Sabtu, satu kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera. 


BACA: Polis tingkat keselamatan di pusat beli belah, lokasi tumpuan 

BACA: Aaron Aziz segera ambil anak di SCM, sempat titip pesanan