KUALA LUMPUR: Polis Selangor sedang menyiasat kes penipuan melibatkan tawaran bantuan bagi menurunkan seksyen hukuman di mahkamah yang menyebabkan kerugian sebanyak RM95,180. 

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, laporan polis diterima daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang bekerja di Malaysia Airlines.

Katanya, mangsa telah berjumpa dengan seorang suspek wanita berusia sekitar 28 tahun pada Disember 2024 untuk membincangkan masalah berkaitan kes mahkamah yang dihadapi oleh suaminya. 

"Suspek dipercayai menawarkan bantuan untuk menyelesaikan isu tersebut dan meyakinkan mangsa bahawa dia mampu mengurangkan seksyen kesalahan suaminya.

"Mangsa kemudiannya membuat pembayaran sebanyak RM95,180 ke dalam dua akaun bank yang diberikan oleh suspek. 

"Namun, selepas pembayaran dibuat, suspek gagal memenuhi janji yang ditawarkan. Mangsa akhirnya tampil membuat laporan polis pada 28 Januari 2025," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kes sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati terhadap sebarang tawaran seumpama ini dan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," ujarnya.

Pada Rabu, polis mengesahkan sedang menyiasat berhubung laporan yang dibuat isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi berhubung dakwaan kes penipuan dana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan dibuat wanita terbabit di Kajang, Selangor.

Sebelum itu, media melaporkan Afreena tampil membuat laporan polis pada Selasa selepas mendakwa ditipu seorang individu melibatkan wang sebanyak RM95,180.

Menerusi hantaran di Instagram, Afreena turut menyatakan dia yakin kebenaran akan terungkap selepas laporan berkenaan dibuat.

Terdahulu, media melaporkan, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 yang diterima daripada rakan-rakan artis.