Shamsul Rijal Mohd Yussof dan Ahmad Ghazali Md Kassim, masing-masing berusia 73 tahun, didakwa menipu Afifi Ahmad, 48, dengan memperdayakannya untuk melabur dalam perniagaan jual beli minyak diesel dengan menjanjikan keuntungan sebanyak RM1.5 juta.
Perbuatan itu mendorong mangsa membuat transaksi pindahan wang RM752,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh yang didaftarkan atas nama Syarikat Spectrum Global Sdn Bhd di sebuah bank di Brickfields di sini pada 26 Feb 2024.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff mencadangkan jaminan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Ahmad Ghazali memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga serta masalah kesihatan manakala Shamsul Rijal yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan rendah atas alasan sama.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
