Ringkasan AI
- Pengawal keselamatan, Ahmad, terkilan kerana tidak menghampiri kereta BMW yang berada di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda, di mana dua beranak ditemui maut.
- Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh, menyatakan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian.
- Balveer Singh menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.
Demikian luahan pengawal keselamatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 60, mengenai insiden dua beranak maut dalam kereta di hadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda di sini pada Khamis.
Ahmad memberitahu selepas waktu bekerjanya berakhir pada jam 7 malam, kereta BMW terbabit masih berada di lokasi sama dengan enjin masih hidup.
"Saya terkilan kerana tidak peduli apabila sebuah kereta BMW berhenti jam 2 petang depan sekolah kebangsaan tempat saya bekerja.
"Saya memang tidak syak apa-apa. Cuma, apabila beberapa kali saya dengar bunyi pedal minyak ditekan, saya cuma tengok dari jauh kerana cermin kereta gelap dan tak nampak sesiapa di dalam.
"Sehingga jam 7 petang, saya tidak nampak sesiapa pun keluar dari kereta itu tetapi enjin kereta masih hidup. Saya terkejut apabila pada sebelah malam, rakan sekerja beritahu ada ibu dan anak meninggal dunia dalam kereta berkenaan," ujarnya.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang ibu ditemui meninggal dunia bersama-sama anak perempuan bongsunya dalam kereta yang diparkir di tepi jalan hadapan sekolah berkenaan.
Difahamkan, jenazah ibu dan anak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini, kira-kira jam 3 petang Jumaat selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, ketika kereta itu diparkir di tepi jalan berkenaan pada kira-kira jam 2 petang Khamis, dia tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap hari ada sahaja kereta yang berhenti di lokasi berkenaan.
"Memang biasa ada kereta yang berhenti kejap di tepi jalan sama ada berhenti nak gunakan telefon bimbit atau ada yang periksa kereta rosak atau sebagainya.
"Ini pertama kali perkara seumpama ini berlaku sejak saya bekerja di sini selama empat tahun," katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu siasatan makmal (pending laboratory investigations) dan siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Pada masa sama, Balveer Singh menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kes berkenaan.
"Kerjasama masyarakat amat dihargai untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
"Kita menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini untuk menyalurkan maklumat di talian 07-5563122 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Helmy Halim di talian 012-5759953," jelasnya. -- Sinar Harian