BELURAN: Dua beranak bukan sahaja disamun oleh pekerjanya sendiri malah cedera parah akibat ditikam menggunakan besi mengangkat kelapa sawit dalam kejadian di sebuah kebun persendirian di Kampung Napagang Entilibon, Tongod di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya berusia 23 tahun dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita yang memaklumkan suami dan anaknya cedera akibat ditikam menggunakan senjata tajam dipercayai besi untuk mengangkat buah kelapa sawit.

"Kedua-duanya cedera di bahagian kepala, badan, belakang badan, lengan dan paha akibat ditikam dengan senjata tersebut dan mereka telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut mendapati, kedua-dua mangsa dicederakan oleh pekerja mereka sendiri sebelum bertindak melarikan diri bersama barangan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad..

Dalam pada itu, Hasan berkata, kedua-dua suspek merupakan warga Indonesia dikenali sebagai Anuar berusia 40-an dan Saril berusia 20-an.

"Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek bertindak melarikan bersama sebuah pacuan empat roda milik mangsa, barang peribadi milik mangsa termasuk dokumen penting, telefon bimbit dan dompet," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda serta sebat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek ini diminta tampil untuk menyalurkan maklumat dengan berhubung terus ke Balai Polis Tongod untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian