Di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril, Miki Oshiro, 35, dan Yap Choon Han, 41, didakwa bersama-sama menipu seorang lelaki warga Singapura berusia 28 tahun dengan memperdayakan bahawa mereka boleh menguruskan penjualan 22 unit jam tangan berjenama dengan harga jualan RM955,600.
Perbuatan itu mendorong mangsa membuat pembayaran wang berjumlah RM955,600 ke 10 akaun berbeza yang diarahkan oleh kedua-dua tertuduh dan menggunakan kesemua wang itu bagi kepentingan peribadi mereka di sebuah kedai jam tangan di pusat beli-belah di sini pada 15 Dis 2024.
Kedua-dua lelaki tempatan itu turut didakwa menipu seorang wanita berusia 60 tahun membabitkan urusan pembelian 41 utas jam tangan berjenama Rolex hingga mendorong mangsa membuat pembayaran wang berjumlah RM654,000 menerusi 21 transaksi ke dua akaun bank milik kedua-dua tertuduh di lokasi sama pada 23 Dis 2024.
Di hadapan Hakim Azrul Darus, mereka didakwa menipu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam urusan pembelian jam tangan mewah berjenama Patek Phillipe bernilai RM360,000 hingga mendorong mangsa membuat pembayaran RM160,000 kepada kedua-dua tertuduh di sebuah kondominium di Sentul antara 1 hingga 6 Nov 2024.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa menipu mangsa sama iaitu lelaki warga Singapura dalam urusan pembelian 22 utas jam tangan Rolex bernilai RM658,600 sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran wang berjumlah RM658,600 ke dalam tiga akaun bank, dengan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan di kedai jam tangan sama pada 15 Dis 2024.
Di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, mereka didakwa menipu seorang wanita berusia 41 tahun dalam urusan pembelian seutas jam tangan berjenama Rolex bernilai RM47,600 sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran RM47,600 secara tunai melalui serahan tangan kepada mereka di lokasi sama (kedai jam tangan) pada 1 Dis 2024.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak, Muhammad Amir Haniff Ahijman dan Hench Goh, manakala Miki diwakili peguam Datuk P. M. Nagarajan dan Yap diwakili peguam Sharifah Alawiah Syed Alwee.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM66,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
