Dalam prosiding yang dijalankan berasingan, Mohd Sofwan Abdul Rahman, 43, dan Zarul Mustakim Jaya@Sidek, 29 masing-masing didenda RM5,300 dan RM3,800 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tertuduh juga berhadapan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Mereka bagaimanapun membayar denda itu.
Mohd Sofwan yang bekerja sebagai jurukimpal didakwa memiliki 300 kotak kecil mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah pada 21 Feb lepas di sebuah rumah atau stor tidak bernombor di Kampung Che Lijah di sini, pada pukul 1 tengah hari.
Zarul Mustakim pula seorang mekanik, didapati memiliki 43 jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah pada 4 Mac lepas, di sebuah rumah di Kampung Burung Baru di sini, pada 12.10 tengah malam.
Ketika ditanya oleh Majistret Nur Amira Fatihah Osman tentang punca mereka melakukan perbuatan itu, masing-masing memberikan alasan berbuat demikian kerana ingin mencari pendapatan lebih bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman, manakala Mohd Sofwan dan Zarul Mustakim masing-masing diwakili peguam Masliela Ismail dan Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.
-- BERNAMA
