MUAR: Cubaan dua lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah melarikan diri daripada polis sejauh tujuh kilometer berakhir apabila mereka berjaya ditahan di lorong belakang Jalan Selasih, Taman Selasih, Sungai Abong pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku ketika pihak polis menjalankan Op Utama pada jam 9 pagi di Jalan Pintasan.

Menurutnya, polis cuba menghentikan sebuah kereta Honda City berwarna kelabu yang dipandu dua lelaki berusia 34 dan 24 tahun untuk pemeriksaan, namun mereka bertindak memecut laju bagi mengelak daripada ditahan.

“Polis telah memberi arahan supaya mereka memberhentikan kenderaan beberapa kali, tetapi mereka terus memecut sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar hampir tujuh kilometer.

"Bagaimanapun, tindakan licik suspek gagal apabila anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya mengepung mereka sebelum menahan kenderaan tersebut di Sungai Abong," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar pada Khamis bagi permohonan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, aksi kejar-mengejar antara polis dan suspek turut menjadi tular di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi 13 saat dimuat naik ke Facebook. -- Sinar Harian