Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Mohd Fairus Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata enam suspek berusia 23 hingga 28 tahun telah ditahan pada 8 malam semalam dan polis merampas sebilah parang daripada mereka.
"Suspek kini direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394/326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan rompakan dan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata," katanya.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati keenam-enam suspek mempunyai rekod jenayah dan rekod berkaitan dadah.
Mohd Fairus berkata 11 lelaki bertopeng yang dipercayai membawa beberapa parang itu datang ke rumah terbabit dengan menaiki tiga kereta sebelum membuka pagar serta pintu rumah yang tidak berkunci lalu meluru ke dalam rumah itu.
Suspek, katanya menetak mangsa yang berusia lingkungan 31 dan 38 tahun di ruang tamu berkali-kali menggunakan parang sebelum meninggalkan rumah itu dengan menaiki kereta.
Mohd Fairus berkata kedua-dua mangsa yang cedera parah pada bahagian badan, kaki serta tangan dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menyalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya menerusi talian 03-7862 7222 atau Pegawai Penyiasat ASP Khairulazizi Ismail 019-2817820.
-- BERNAMA