ALOR SETAR: Dua remaja menaiki motosikal tanpa lesen melarikan diri selepas melanggar seorang wanita warga emas ketika sedang melintas jalan di hadapan Masjid Zahir, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu mangsa sedang melintas jalan di laluan lintasan pejalan kaki dan ketika itu kenderaan lain sedang memberhentikan kenderaan bagaimanapun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal lalu melanggar mangsa sehingga mangsa terjatuh.

Katanya, sejurus kejadian penunggang dan pembonceng motosikal itu kemudian terus melarikan diri.

“Mangsa berusia 65 tahun itu yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kota Setar pada jam 12.06 tengah hari Jumaat.

“Susulan laporan itu polis mendapat bantuan daripada seorang pemilik kenderaan yang berjaya merakam kejadian melalui kamera hadapan kendeaan miliknya.

“Hasil semakan polis berjaya mengesan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dan pada jam kira-kira jam 7 petang semalam, dua remaja lelaki berusia 15 dan 13 tahun tampil ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Siti Nor Salawati berkata, hasil siasatan mendapati remaja lelaki berusia 15 tahun yang menunggang motosikal itu tidak mempunyai lesen dan bertindak melarikan diri kerana takut ditahan polis.

Katanya, hasil pemeriksaan polis turut mendapati motosikal itu telah diubah suai dan polis bertindak menyita motosikal terbabit untuk siasatan lanjut.

"Polis juga akan mengambil tindakan ke atas pemilik motosikal itu kerana kesalahan membenarkan remaja itu menunggang motosikal tanpa lesen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.