Ringkasan AI
- Pemilik dashcam yang merekodkan kemalangan maut di Jalan Persiaran Senawang 1 belum tampil membantu siasatan.
- Polis menekankan pentingnya kerjasama pemilik dashcam untuk memudahkan proses siasatan.
- Dua remaja maut dalam kemalangan tersebut setelah kereta yang dipandu remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan merempuh dua motosikal.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kerjasama mereka amat penting bagi memudahkan proses siasatan dilakukan.
"Sebab itu pentingnya kerjasama pemilik dashcam yang berkongsi video kejadian itu di media sosial tampil untuk bantu proses siasatan.
"Setakat ini hanya dua saksi telah tampil memberi keterangan iaitu ibu pemandu Honda Jazz dan seorang saksi awam," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan, dua remaja maut dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1.
Kejadian sekitar jam 8. 30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
Kenderaan itu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan terbabit menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian. -Sinar Harian
