Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila premis terbabit dimasuki seorang lelaki bersenjatakan parang dan meluru ke arah seorang pelanggan wanita berusia 59 tahun.
Beliau berkata lelaki itu mengugut mahu memotong rantai dipakai wanita itu jika enggan bekerjasama, selain menendang mangsa.
"Apabila suspek menghampiri mangsa kedua iaitu pekerja kedai runcit itu, mangsa yang berusia 28 tahun berasa takut dan terus membaling rantai leher dipakainya kepada suspek.
"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran palsu, yang dipandu seorang lagi suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cha berkata kedua-dua wanita itu tidak mengalami kecederaan dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup memaparkan seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyerbu sebuah kedai runcit lalu bertindak menyamun dua wanita.
-- BERNAMA