Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kedua-dua suspek berusia 45 dan 50 tahun itu, menaiki sebuah bot memancing yang berdaftar di Singapura dan dipercayai berperanan sebagai transporter, dengan mengambil ubat terkawal berkenaan daripada pembekal di negara ini sebelum dijual ke negara jiran.
"Kesemua tong berkenaan disembunyikan di tempat menyimpan ikan, di dalam bot berkenaan. Bagaimanapun kita sedang menyiasat bagaimana mereka memperoleh bekalan pati ubat batuk itu di sini," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Raub berkata polis turut merampas sebuah bot fiber bernilai RM270,000, kunci bot, sebuah enjin jenama Mercury bernilai RM120,000 dan empat buah telefon bimbit, manakala cecair pati ubat batuk yang dirampas akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 45 tahun itu positif dadah jenis Nimetazepam dan kedua-duanya direman empat hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA