KUALA LUMPUR: Sasaran ASEAN untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia tidak diletakkan hanya pada kemajuan ekonomi semata-mata.


Ringkasan AI
  • ASEAN berusaha menjadi ekonomi keempat terbesar dunia dengan fokus pada pembangunan yang mampan dan saksama, memastikan semua individu mendapat manfaat.
  • Walaupun terdapat kemajuan ekonomi di bandar-bandar besar ASEAN, masih banyak kawasan yang terpinggir dari pembangunan, termasuk isu bekalan elektrik, pendidikan, dan kesetaraan gender.
  • Belia ASEAN prihatin dengan isu perubahan iklim dan pembangunan mampan, tetapi memerlukan sokongan daripada kerajaan dan sektor swasta untuk melaksanakan usaha mereka.


Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cabaran utama terletak pada pembangunan yang mampan dan saksama, sekali gus memastikan setiap individu mendapat manfaat daripada potensi besar rantau ini.

Jelasnya, walaupun bandar-bandar besar dan utama di ASEAN memperlihatkan kemajuan ekonomi yang baik, namun masih terdapat banyak kawasan yang terpinggir dari pembangunan.

“Tidak cukup untuk mengatakan kita ekonomi keempat terbesar tetapi masih ramai yang tidak mendapat bekalan elektrik, yang tidak mendapat pendidikan dan golongan wanita masih ketinggalan.

“Perkara-perkara seperti ini perlu ditangani juga, tetapi ASEAN ada potensi. Itulah sebabnya tema ASEAN tahun ini adalah keterangkuman dan kelestarian kerana ia sebenarnya sangat kritikal (terhadap pembangunan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN Youth Economic Forum (AYEF) 2025 di ibu negara, pada Jumaat.

Ekonomi: Cabaran ASEAN pastikan pembangunan mampan untuk semua


Forum bertemakan “Perubahan Iklim dan Membina Ekonomi Berdaya Tahan”, akan berlangsung sehingga Ahad ini, menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan perwakilan belia untuk membincangkan strategi untuk memupuk daya tahan ekonomi dalam menghadapi perubahan iklim.

Sementara itu, menyentuh mengenai peranan belia dalam pembangunan mampan dan menangani krisis perubahan iklim, Nik Nazmi melihat apa yang paling diperlukan ketika ini adalah membantu mereka dalam usaha yang dijalankan.

Ini kerana jelasnya, belia secara umumnya prihatin dengan isu tersebut dan mahu terlibat, namun tanpa sokongan daripada pihak berkepentingan, apa saja usaha mereka akan berdepan cabaran untuk dilaksanakan.

“Kesedaran anak muda di tahap yang baik dan dari pengalaman saya, tidak ada masalah kesedaran, tetapi cuma mereka perlu tahu apa yang boleh dilakukan.

“Mereka mahu tahu bagaimana kerajaan dan sektor swasta, yang memainkan peranan penting dalam membuat perubahan sistemik, boleh membantu mereka, berkaitan dengan apa yang mereka mahu lakukan untuk menangani isu perubahan iklim atau masalah alam sekitar,” katanya lagi.