WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, antara sebab mengapa beliau dipilih menerajui pentadbiran negara itu ialah untuk mengimbangkan bajet dan "mengembalikan bajet kita ke keadaan yang lebih baik."

Trump berkata demikian semasa bercakap ketika memulakan mesyuarat Kabinet pertama bagi penggal kedua pentadbirannya.

Beliau kemudian memperkenalkan Elon Musk kepada anggota Kabinet, sambil menyatakan Musk sedang "berkorban banyak... dan menerima banyak pujian, tetapi dia juga menerima kritikan."

Musk kemudian bangun dan berkata bahawa "matlamat utama" pasukan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) adalah untuk "membantu menangani defisit yang sangat besar".

“Kita tidak boleh mengekalkannya,” katanya, “jika ini berterusan, negara akan menjadi muflis secara de facto.”

“Ini bukan pilihan, tetapi satu keperluan,” tambahnya.

Pada mesyuarat Kabinet itu juga, Trump mengakui, terdapat beberapa anggota Kabinetnya "tidak sependapat " dengan Musk susulan laporan CNN arahan jutawan teknologi itu kepada pekerja Persekutuan mula menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan Setiausaha Kabinet.

"Ada sesiapa yang tak puas hati dengan Elon? Kalau ada, kita akan keluarkan mereka dari sini," kata Trump, yang mendapat sambutan berbeza daripada ahli Kabinet yang duduk di sekeliling meja di bilik mesyuarat Kabinet.

Beliau menambah: "Mereka (anggota Kabinet) sangat menghormati Elon dan apa yang sedang dilakukannya. Dan ada yang tidak sependapat sedikit (dengan Musk). Tetapi secara keseluruhan, saya rasa bukan sahaja mereka gembira, malah teruja."

Kenyataan tersebut dibuat selepas laporan Alayna Treene dari CNN yang menyebut pegawai Kabinet tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai e-mel daripada Pejabat Pengurusan Personel AS pada Sabtu atas arahan Musk, yang bertanya: "Apa yang anda lakukan minggu lepas?"

E-mel itu dengan mencetuskan persoalan tentang siapa yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada kakitangan di pelbagai jabatan.

Terdahulu, Presiden Trump mengadakan mesyuarat Kabinet rasmi pertamanya sejak memulakan penggal kedua – satu perjumpaan bersama pemimpin agensi yang mengambil pendekatan berbeza dalam menunjukkan kesetiaan mereka kepada Trump secara terbuka dan tertutup.

Musk yang memimpin usaha mengurangkan tenaga kerja kerajaan Persekutuan tetapi bukan anggota Kabinet turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

White House sebelum ini memaklumkan, Musk hadir kerana "Setiausaha Kabinet menerima nasihat dan arahan" daripada DOGE yang dipimpin oleh pengasas kereta elektrik jenama Tesla itu.

Walaupun secara rasmi Musk hanyalah penasihat kanan kepada Presiden, beliau memainkan peranan besar dalam pentadbiran Trump.

Ini berlaku walaupun beliau - tidak seperti anggota Kabinet sebenar - tidak akan disahkan oleh Senat. Setakat ini, 18 daripada 22 calon Kabinet telah disahkan.

Mesyuarat pada hari Rabu itu bertujuan sebagai peluang untuk menyelaraskan usaha dan memastikan ketua agensi Persekutuan Trump “bergerak seiring,” menurut seorang pegawai White House.

Mesyuarat Kabinet yang lazimnya dimulakan dengan sesi fotografi berkumpulan berubah menjadi sesuatu yang berbeza semasa penggal pertama Trump.

Beliau memulakan dengan menguar-uarkan pencapaian pentadbirannya, diikuti oleh setiap ahli Kabinet yang secara bergilir memuji Presiden di hadapan kamera televisyen. - Agensi