KUALA LUMPUR: Polis Daerah Serdang berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun dan ragut yang berlaku di sekitar Serdang, Petaling Jaya dan Subang Jaya selepas penahanan empat suspek dalam operasi khas baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A. A. Anbalagan, kes samun ragut yang terbaru berlaku pada 3 Januari lalu sekitar jam 4.40 petang di Taman Mawar, Puchong.

Katanya, mangsa telah didatangi seorang lelaki menaiki motosikal berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

"Suspek bertindak meragut rantai leher mangsa sebelum melarikan diri, dengan anggaran kerugian berjumlah RM8,000.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis menjalankan operasi antara 16 hingga 18 Januari lalu yang membawa kepada penangkapan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 31 hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, semakan rekod menunjukkan tiga daripada suspek memiliki 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas motosikal, topi keledar, pakaian yang digunakan ketika jenayah, serta beberapa barangan berharga seperti telefon bimbit, jam tangan, rantai dan cincin dipercayai emas.

"Hasil tangkapan dan rampasan ini membantu menyelesaikan kes jenayah dengan kerugian keseluruhan mencecah RM40,000.

"Suspek utama berusia 31 tahun kini masih dalam tahanan reman sehingga 3 Februari untuk membantu siasatan lanjut.

"Polis menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat jenayah dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222 atau balai polis berhampiran," katanya.